ISMAIL Sabri (tengah) bersama Menteri Tengku Zafrul dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bergambar bersama penuntut pada majlis pelancaran e-Pemula di Universiti MMU, Cyberjaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
ISMAIL Sabri (tengah) bersama Menteri Tengku Zafrul dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bergambar bersama penuntut pada majlis pelancaran e-Pemula di Universiti MMU, Cyberjaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
Rafidah Mat Ruzki


Cyberjaya: Golongan belia yang layak menerima bantuan ePemula diharap berbelanja secara bijak dan menggunakan kredit RM150 itu untuk menyokong perniagaan pengusaha tempatan, terutama usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) secara fizikal.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi membantu usahawan dapat pulih sepenuhnya selepas terkesan dengan pandemik.

Beliau berkata, tujuan utama program ePemula adalah memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia selain meringankan beban kewangan Keluarga Malaysia.

"Sekiranya lebih banyak perniagaan pulih, lebih banyak hasil negara dan lebih ramai rakyat, terutama golongan B40, yang boleh dibantu.

"Secara keseluruhan, Kerajaan yakin program seperti ePemula ini akan terus memperkasa dan membudayakan sistem kewangan digital bagi memastikan kemajuan yang inklusif buat semua lapisan rakyat dan perniagaan, Insya Allah," katanya ketika melancarkan ePemula, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abd Aziz dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menyarankan usahawan terutama PMKS untuk mengamalkan urus niaga tanpa tunai terutamanya ketika Fasa Peralihan ke Endemik.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan Keluarga Malaysia melakukan transaksi di kedai fizikal secara mudah, cepat dan lebih selamat.

"Bagi pembeli pula, mereka tidak perlu lagi membawa dompet atau beg duit fizikal apabila sumber kewangan sentiasa ada dalam aplikasi e-dompet masing-masing," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, semakin ramai usahawan dan peniaga, PMKS bertransaksi secara e-tunai manakala pengguna juga semakin yakin dengan penggunaan e-tunai melalui pelbagai e-dompet.

Katanya, ia jelas terbukti apabila transaksi e-tunai berkembang dengan ketara sebanyak RM50.5 bilion pada 2021, berbanding RM29.6 bilion pada 2020.

Perdana Menteri berkata, proses semakan kelayakan dan tuntutan kredit e-Pemula mulai dibuka pada 11 April lalu.

Beliau berkata, belia yang layak akan mendapat kredit sebanyak RM150 dalam aplikasi e-dompet pilihan mereka, iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay atau Touch 'n Go eWallet.

"Saya difahamkan keempat-empat penyedia e-dompet ini juga memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, mata terkumpul, diskaun dan banyak lagi manfaat menarik sepanjang tempoh program ini," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul ketika berucap berkata, pembabitan empat terbabit akan memastikan pelaksanaan ePemula secara menyeluruh di seluruh negara, termasuk di bandar kecil, lantas dimanfaatkan lebih ramai belia dan pelajar, selain membudayakan satu sistem pembayaran tanpa tunai yang lebih mudah, telus dan selamat.

Beliau berkata, keempat-empat e-Dompet yang mengambil bahagian melalui Program ePemula itu boleh digunakan melalui jaringan perniagaan runcit yang melebihi 1.2 juta pusat pembayaran fizikal (touchpoints).

Pada 27 Mac lalu, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, program ePemula yang dilancarkan hari ini, bakal memberi manfaat kepada lebih dua juta belia membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 6:07 PM