Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Pasukan Wau Rocketry dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjadi wakil tunggal Malaysia ke Spaceport America Cup 2022 menaruh harapan tinggi roket ciptaan mereka mampu memperoleh kejayaan bermakna dalam pertandingan berprestij dunia itu.

Bakal mempertaruhkan roket dinamakan 'Hebat', kini sudah 80 peratus siap sebelum menyertai pertandingan yang akan berlangsung pada 20 Jun hingga 25 Jun nanti di New Mexico, Amerika Syarikat (AS).

Pasukan yang diketuai Penuntut Tahun Tiga Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM, A Vanmitha, 22, berkata mereka mula membuat persiapan sejak enam bulan lalu selepas berjaya melayakkan diri dengan melalui tiga peringkat yang ditetapkan pihak penganjur.

"Untuk memasuki pertandingan besar ini, ia bukan mudah kerana kami perlu melalui tiga peringkat yang ditetapkan dan jika gagal peringkat pertama kami tidak layak meneruskan ke peringkat seterusnya.

"Syukur kami berjaya melalui semua peringkat itu selepas mengisi penyertaan berkenaan pada September lalu, maka terus mengerah idea serta keringat untuk membuat persiapan menghasilkan roket bagi ke pertandingan itu," katanya ketika ditemui, di sini.

Jelasnya, kriteria pertandingan itu mengambil kira konsep membentuk, membina dan menerbangkan roket yang mana pasukan perlu menerbangkan roket setinggi 10,000 kaki di samping membawa satelit nano bersama roket, seterusnya mendaratkan roket yang dilengkapi dengan payung terjun dengan selamat.

"Cabaran utama yang dihadapi dalam pembinaan roket ini adalah untuk memastikan pasukan kami dapat mengawal pendaratan roket dengan selamat kerana jika ada sedikit ralat , ia akan menyebabkan roket jatuh terhempas dan berkecai.

"Pasukan kami tidak boleh menguji roket di sini (Malaysia) kerana ia adalah syarat yang ditetapkan pihak penganjur yang mana roket ini akan dilancarkan sekali sahaja iaitu pada pertandingan itu nanti," katanya.

FARZAD (tiga kiri) bersama Norilmi (dua kiri) mendengar penerangan daripada Vanmitha (kiri) mengenai roket dikenali ‘Hebat.’ FOTO Danial Saad
FARZAD (tiga kiri) bersama Norilmi (dua kiri) mendengar penerangan daripada Vanmitha (kiri) mengenai roket dikenali ‘Hebat.’ FOTO Danial Saad

Pasukan yang terdiri daripada 11 penuntut membabitkan lapan penuntut kejuruteraan aeroangkasa, dua (Kejuruteraan kimia) dan seorang (kejuruteraan mekanikal) itu mendapat bimbingan daripada Penasihat Projek, Dr Norilmi Amilia Ismail dan mentor, Julian Yie Jian Chee iaitu rakyat Malaysia yang mengajar di Wichita State University, AS yang pernah menerbangkan roket dalam pertandingan berkenaan sebelum ini.

Norilmi Amilia berkata, pelajarnya berminat menyertai pertandingan itu selepas memperoleh inspirasi melalui program ' University Space Engeneering Consortium (UNISEC)' yang diadakan tahun lalu.

"Ketika itu, kita menjemput dua individu yang pernah menyertai pertandingan berkenaan untuk berkongsi pengalaman sehingga timbul minat pelajar untuk sertai sehingga terbentuk ciptaan roket sepanjang 3.3 meter seberat 25 kilogram yang diperbuat daripada gentian kaca.

"Pertandingan ini bukan mudah untuk disertai kerana pelajar berkorban masa dan tenaga bukan sahaja untuk membawa nama universiti ke pentas dunia tetapi untuk mengharumkan negara tercinta," katanya.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM, Profesor Dr Farzad Ismail, berkata penyertaan penuntut ke pertandingan antarabangsa itu mengajar mereka dalam dimensi pembelajaran baharu.

"Ia adalah satu pengalaman yang memang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit kerana mengajar mereka kepada sesuatu bentuk pelajaran yang baharu dalam dunia yang sebenar.

"Jika diizinkan mereka berjaya dalam pertandingan itu kelak ia adalah satu bonus," katanya.

Difahamkan, terdapat 151 pasukan dari 24 negara yang terdiri daripada 1,700 orang penuntut aeronautik termasuk negara tuan rumah akan berentap dalam pertandingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 1:35 PM