Nur Izzati Mohamad


Permatang Pauh: Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal mendapat bantuan pendidikan berkaitan sektor kejuruteraan, pertukaran maklumat dalam aspek penyelenggaraan dan pengurusan infrastruktur, kolaborasi penyelidikan serta penerbitan dalam bidang berkaitan.

Ia adalah hasil memorandum persefahaman (MoU) UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB).

Rektor UiTM Pulau Pinang Prof Dr Salmiah Kasolang berkata, dengan termeterainya MoU antara UiTM dan JKSB itu sudah pastinya akan mewujudkan peluang baru kepada kedua-dua pihak.

Menurutnya, kerjasama itu adalah platform yang sempurna untuk pendidikan tanpa sempadan apabila semua pihak akan berpeluang menjana pengetahuan dan idea baru melalui pelbagai aktiviti serta projek membabitkan penuntutnya atau staf dengan pihak berkepentingan.

Dr Salmiah mewakili UiTM Pulau Pinang di majlis menandatangani MoU berkenaan hari ini, manakala JKSB diwakili Pengerusinya, Datuk Saat Esa.

Saat berkata, MoU itu adalah yang kedua ditandatangani pihaknya bersama universiti awam (UA) selepas Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2019.

Menurutnya, MoU bersama UiTM akan berlangsung selama dua tahun dan dapat menyaksikan kerjasama dalam latihan membabitkan kakitangan dan penuntut serta pelbagai inisiatif lain yang boleh memberi kebaikan bersama kepada JKSB dan UiTM Pulau Pinang.

"MoU ini juga adalah platform untuk membina imej, kredibiliti dan paling penting sebagai ruang untuk pertukaran idea, kemahiran dan juga pelbagai bidang berkaitan yang boleh digunakan untuk kebaikan kedua-dua belah pihak," katanya ketika berucap di majlis itu.

DATUK Saat Esa (dua dari kanan) bertukar Memorandum Persefahaman yang ditandangani kepada  Prof Dr Salmiah Kasolang (dua dari kiri) dalam satu majlis ringkas di UiTM Cawangan Pulau Pinang. FOTO Nur Izzati Mohamad
DATUK Saat Esa (dua dari kanan) bertukar Memorandum Persefahaman yang ditandangani kepada Prof Dr Salmiah Kasolang (dua dari kiri) dalam satu majlis ringkas di UiTM Cawangan Pulau Pinang. FOTO Nur Izzati Mohamad

Menurutnya, JKSB adalah syarikat milik Menteri kewangan Diperbadankan yang dipertanggungjawabkan untuk mereka bentuk, membina, mengurus selia dan operasi Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS).

"Oleh itu, kita berbesar hati untuk berkongsi kepakaran terutama dalam bidang kejuruteraan dan teknikal dengan warga UiTM selari dengan objektif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Kita melihat kerjasama ini adalah permulaan yang baik untuk meningkatkan kualiti pendidikan kejuruteraan dan teknikal sekali gus melahirkan graduan yang menepati kehendak pasaran kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 6:21 PM