Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur : “Belum sampai masanya Bangladesh dijadikan negara sumber baru pembantu rumah,” tegas Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP) Datuk Raja Zulkeply Dahalan.

Jelasnya, tindakan mengambil pembantu rumah Bangladesh boleh mengundang ‘pertembungan’ besar dengan keputusan kerajaan membawa masuk 1.5 juta pekerja warganegara itu ke Malaysia secara berperingkat.

“Kalau dilihat secara kasar, sumber pembantu rumah di negara ini paling ramai dari Indonesia diikuti Filipina, Kemboja dan Sri Lanka.

“Dari situ, statistik menunjukkan amah Indonesia paling ramai melarikan diri daripada majikan masing-masing.

“Mengapa ia berlaku? Kerana wujudnya pertembungan dalam memenuhi kehendak biologi antara buruh asing, pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan amah senegara,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Raja Zulkeply, pihaknya menyokong keputusan kerajaan mengambil pekerja Bangladesh, namun membantah kemasukan amah dari negara sama.

“Kita kena beringat, ‘permintaan biologi’ ini sukar disekat. Kalau kerajaan ambil juga amah dari Bangladesh, tidak mustahil mereka ini akan jadi rebutan PATI senegara yang bekerja secara haram di sini.

“Justeru, ada baiknya jika kerajaan mempercepatkan kemasukan pembantu rumah dari Kemboja. Isu moratorium (penangguhan rasmi) penghantaran amah dari negara itu ke Malaysia sudah masuk tahun ketiga.

“Saya difahamkan Kerajaan Kemboja kini sudah bersetuju menarik balik moratorium dan menghantar amah mereka ke sini. Hanya Malaysia saja yang masih melengah-lengahkan urusan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU),” katanya.

Selain pengambilan amah Kemboja, katanya, kerajaan juga boleh memperbaiki sumber sedia ada menerusi langkah penstrukturan bersama.

“Kita ada banyak sumber baru termasuk Nepal dan Myanmar. Kalau kerajaan menawarkan gaji berpatutan bersama skim perlindungan yang baik, tidak mustahil negara boleh menarik antara 40,000 hingga 50,000 amah termasuk dari Kemboja.

“Namun, jika kerajaan mahu menimbangkan Bangladesh sebagai sumber baru amah, kita harap PIKAP dan semua agensi berkaitan dipanggil berunding,” katanya.

Berbalik kepada kenyataan dikeluarkan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) berhubung luahan majikan negara ini yang bosan dengan kualiti pembantu rumah Indonesia, Raja Zulkeply menegaskan itu bukanlah suara majoriti.

“Kita tidak bosan dan kualiti mereka juga baik. Apa yang menjadi isu adalah, mereka meminta jumlah gaji yang tinggi.

“Jika amah Bangladesh dibawa masuk sekalipun, belum tentu mereka berkualiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:18 AM