GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Majikan Malaysia yang mahu mengambil amah atau pembantu rumah Indonesia perlu membayar gaji RM1,500 seperti dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI).

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, majikan yang bersetuju dengan kadar terbabit dialu-alukan untuk mengambil PDI, jika sebaliknya Indonesia berpandangan ia bukan satu masalah.

"Indonesia sebagai negara pengirim boleh saja menentukan permulaan gaji. Filipina pun menetapkan gaji PDI antara RM1,500 hingga RM1,600.

"Kalau majikan bersetuju silalah ambil PDI. Kalau tak bersetuju, buat Indonesia tidak ada masalah.

"Majikan yang mahu ambil PDI harus mematuhi kontrak pengambilan pekerja dan di situ (MoU) jelas ada dinyatakan tidak kurang RM1,500 dan dimasukkan terus ke akaun bank pekerja," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan semalam bahawa bayaran gaji kepada amah atau pembantu rumah Indonesia, bermula pada kadar RM1,200 sebulan, berdasarkan pelaksanaan gaji minimum semasa.

Saravanan berkata, kerajaan tidak boleh melaksanakan permintaan Indonesia yang mahu pekhidmat domestik dari negara itu dibayar pada RM1,500 kecuali atas budi bicara majikan.

Tambah Hermono, susulan kenyataan Saravanan, beliau sudah berkomunikasi dengan menteri terbabit semalam bagi membicarakan kekeliruan yang timbul.

"Buat masa sekarang PDI tidak perlu bimbang (soal gaji) kerana adanya mekanisme pemantauan setiap tiga bulan untuk memantau pelaksanaan MoU," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 1:30 PM