ANGGOTA bomba dan penduduk memadam sisa kebakaran Rumah Panjang August Jampi. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba dan penduduk memadam sisa kebakaran Rumah Panjang August Jampi. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


Betong: Seramai 38 penghuni Rumah Panjang August Jampi, di Ulu Ban, Tanjung Assam, di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.

Menurut sumber, kejadian kira-kira 10 pagi itu dipercayai bermula dari dapur satu daripada unit kediaman di bahagian tengah rumah panjang 11 pintu itu.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus pihaknya menerima panggilan pada jam 10.20 pagi.

"Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran itu sudah memusnahkan keseluruhan rumah panjang 11 pintu itu.

"Rumah panjang dua tingkat itu adalah jenis tidak kekal yang struktur binaannya adalah kayu," katanya.

Menurutnya lagi, semua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian serta mentaksir jumlah kerugian yang dialami semua mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 4:20 PM