ALAT pemadam api yang digunakan penduduk dalam kebakaran membabitkan bahagian dapur Rumah Panjang Puso Kerangan Mong, Batang Ai Resettlement Scheme, Lubok Antu, Sri Aman. FOTO Ihsan Bomba
ALAT pemadam api yang digunakan penduduk dalam kebakaran membabitkan bahagian dapur Rumah Panjang Puso Kerangan Mong, Batang Ai Resettlement Scheme, Lubok Antu, Sri Aman. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


TINDAKAN pantas penduduk Rumah Panjang Puso, Kerangan Mong di Skim Penempatan Semula Batang Ai, Sri Aman, mengawal api berjaya mengelak tiga kediaman daripada musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Penduduk rumah panjang terbabit memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan yang diajar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengawal kebakaran dari awal dengan menggunakan alat pemadam api yang dibekalkan kepada mereka.

Sumber berkata, penduduk rumah panjang terbabit pada mulanya cemas melihat api mula marak di bahagian dapur satu daripada unit kediaman sebelum merebak ke dapur dua lagi rumah bersebelahan.

Bagaimanapun katanya, beberapa penduduk yang pernah mendapat tunjuk ajar JBPM mengenai penggunaan alat berkenaan, memanfaatkan pengetahuan itu dan berjaya mengelak kemusnahan lebih besar.

"Penduduk menggunakan 11 alat pemadam api yang dibekalkan di rumah panjang berkenaan untuk mengawal api daripada terus marak.

"Tindakan pantas mereka menggunakan alat pemadam api itu berjaya mengawal api sebelum kehadiran anggota bomba," katanya.

Susulan tindakan pantas penduduk itu, hanya bahagian dapur tiga unit kediaman itu yang musnah kira-kira 30 peratus.

"Jika penduduk panik dan tidak tahu menggunakan alat pemadam api yang dibekalkan itu, tidak tahulah apa nasib keseluruhan rumah panjang itu," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.24 malam tadi.

Berikutan itu, 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong serta BBP Sri Aman dikejarkan ke lokasi kejadian.

Selain itu, operasi turut mendapat bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubok Antu yang menghantar empat anggota.

"Anggota Bomba yang tiba di lokasi bertindak memadamkan sisa-sisa kebakaran menggunakan sumber air dari jentera bomba dan memastikan tiada punca api naik semula.

"Seramai 15 penghuni dari tiga keluarga terjejas akibat kejadian itu namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 11:54 AM