Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM628,800 di perairan Parit Raja, Pontian hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, dalam kejadian 6.30 pagi itu, pihaknya berjaya merampas dadah syabu seberat 12 kilogram dibungkus dalam plastik lut sinar.

Beliau berkata, rampasan dilakukan hasil maklumat risikan mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot nelayan asing di perairan Parit Raja, Pontian sebelum bot ronda APMM diatur gerak ke lokasi bagi melakukan pemantauan serta pengesanan suspek.

"Ketika pemantauan, pasukan operasi mengarahkan bot nelayan asing dikendalikan berhenti, namun dua suspek bertindak melarikan diri ke daratan dan meninggalkan bot tersadai di benteng batu di lokasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot tanpa nombor pendaftaran itu menemukan sepucuk pistol angin berisi tiga butir peluru dan bungkusan beg plastik mengandungi 12 peket dadah syabu," katanya ketika sidang media di Bilik Mesyuarat Zon Maritim Batu Pahat, dekat sini, hari ini.

Simon berkata, pihaknya mengesyaki dadah berkenaan cuba diseludup keluar ke Indonesia.

"Kesemua penemuan berkenaan dirampas dan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat serta.

"Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1980," katanya.

SIMON (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Essa Abu Yamin
SIMON (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Essa Abu Yamin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 5:19 PM