Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili merampas dadah bernilai RM330,000 dalam operasi di perairan Tanjung Setapa di sini, Rabu lalu.

Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, rampasan dadah jenis syabu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran itu hasil rondaan dijalankan kira-kira jam 7.30 malam.

Katanya, pasukan operasi mengesan dua bot gentian kaca saling merapat dan berhimpit dalam keadaan mencurigakan di kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika selatan Tanjung Setapa.

"Mengesyaki situasi kedua-dua bot itu, pasukan operasi bertindak menuju ke arah lokasi untuk serbuan dan pemeriksaan.

"Menyedari kemaraan aset Maritim Malaysia, kedua-dua suspek meninggalkan bot di lokasi dan melarikan diri bersama sebuah bot lain dengan memecut laju menuju sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

"Pasukan operasi berusaha mengejar buru bagi memintas bot suspek hingga mencecah zon 'Traffic Separation Ccheme' (TSS) namun suspek meloloskan diri dan melepasi sempadan ke perairan Indonesia," katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Zon Maritim Tanjung Sedili, hari ini.

SIMON Templer Lo Ak Tusa (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sesi sidang media di Bilik Mesyuarat Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi.FOTO Nurul Amanina Suhaini
SIMON Templer Lo Ak Tusa (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sesi sidang media di Bilik Mesyuarat Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi.FOTO Nurul Amanina Suhaini

Simon berkata, jarak sempadan perairan Malaysia-Indonesia dengan lokasi kejadian adalah 1.5 batu nautika.

Katanya, pemeriksaan lanjut di lokasi bot yang ditinggalkan, pihaknya menemui enam bungkus serbuk putih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat enam kilogram bernilai kira-kira RM330,000, dimuatkan dalam tong hijau.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM350,000 termasuk bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran dan enjin jenis Yamaha 40 kuasa kuda.

"Modus operandi adalah menyamar sebagai nelayan tradisional dengan menggunakan bot kecil sebagai pengangkutan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menjejaki dalang atau pihak terbabit dalam pengedaran dadah kerana kegiatan ini dilihat mula aktif di perairan Johor," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 1:00 PM