KERETA BMW 520i yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun remuk dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 86, Jalan Kota Bharu- Machang- Gerik, dekat Jeli. FOTO Ihsan PDRM
KERETA BMW 520i yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun remuk dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 86, Jalan Kota Bharu- Machang- Gerik, dekat Jeli. FOTO Ihsan PDRM
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pemandu kren maut, manakala tiga mangsa lain cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 86, Jalan Kota Bharu- Machang- Gerik, dekat Jeli, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi, mangsa itu, Che Mohamed Faizul Che Muda, 31, yang memandu kereta Proton Wira parah dan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, sebelum kejadian mangsa bersama isteri dan dua anak dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Tanah Merah.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa bertembung dengan kereta BMW 520i yang dipandu dari arah bertentangan oleh seorang lelaki berusia 40 tahun.

"Akibat pertembungan itu, mangsa parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isteri, Haryati Rahim, 26, serta seorang anak berusia enam tahun cedera ringan dan anak mangsa berusia dua tahun tidak cedera.

"Pemandu kereta BMW 520i pula mengalami sakit badan .

"Jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jeli untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas lanjut berkenaan kemalangan itu yang tular di laman sosial Facebook yang mendakwa kejadian berlaku di jalan yang sedang dibaiki dan tiada papan tanda, Ahmad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

"Pihak polis mohon kerjasama daripada saksi yang melihat kejadian untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 2:46 PM