Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerinduan masyarakat terhadap keenakan bubur lambuk Kampung Baru di sini, ketika Ramadan bakal terubat tahun ini apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah memberikan kebenaran kepada Masjid Jamek Kampung Baru untuk memasak dan mengagihkannya kepada orang ramai.

Tahun lalu, pihak Masjid Jamek Kampung Baru tidak dibenarkan meneruskan tradisi berusia 100 tahun itu berikutan pandemik Covid-19 yang melanda.

Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru Datuk Mohd Khay Ibrahim berkata, pihaknya sudah menulis surat kepada MKN dan mendapat jawapan serta kebenaran untuk memasak, mengagihkan bubur lambuk pada Ramadan ini.

"Surat kelulusan sudah kami terima daripada MKN. Alhamdulillah, kita ucapkan terima kasih kepada MKN sebab dengan ini tradisi bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru dapat diteruskan.

"Bukan sahaja mengenai tradisi itu tetapi kita nak meraikan orang yang berpuasa supaya mereka dapat menikmati semula bubur lambuk yang mereka 'missed' tahun lalu.

"Selain itu memandangkan keadaan ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan sedikit beban orang ramai. Bubur lambuk ini kita tidak hadkan kepada orang Islam sahaja. Terbuka kepada semua orang. Sesiapa yang datang kita akan berikan.

"Insya-Allah kita akan memasak 15 periuk setiap hari sepanjang Ramadan ini. Satu periuk dianggarkan boleh diagihkan untuk 350 orang. Kos adalah antara RM650 ke RM700 untuk nilai bubur satu periuk termasuk 15 kilogram beras (kg), enam kg daging, enam kg santan, 1 kg udang kering serta campuran rempah ratus termasuk halba jintan manis," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, hari ini.

Mohd Khay memeriksa kelengkapan untuk memasak bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto Eizairi Shamsudin
Mohd Khay memeriksa kelengkapan untuk memasak bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto Eizairi Shamsudin

Menurutnya, kebiasaannya orang yang datang untuk ambil bubur lambuk ini datang dari merata tempat dan pihak masjid tak mahu hampakan masyarakat.

Katanya, memang menjadi falsafah pihak Masjid Jamek Kampung Baru untuk tidak menghampakan masyarakat yang datang kecuali ada juga pulang hampa kerana kehabisan.

"Itu kami tidak boleh buat apa kerana 15 periuk sehari adalah optimum yang pihak masjid mampu buat.

"Jadi yang mahu bubur lambuk, kenalah datang awal. Selalunya kita edarkan selepas Asar. Buat sementara ini, maklumat daripada surat pekeliling Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak membenarkan majlis berbuka puasa, jadi kita akan buat pengagihan sahaja.

"Kecualilah Jawi dan Insya-Allah kita mendoakan supaya membenarkan semua masjid dan surau untuk adakan majlis berbuka puasa dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) MKN, maka kita akan adakan jamuan berbuka puasa di masjid," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 6:06 PM