Hamzah Zainudin (empat dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian lapan syarikat tempatan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. FOTO BERNAMA
Hamzah Zainudin (empat dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian lapan syarikat tempatan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. FOTO BERNAMA
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dan lapan kontrak dengan nilai keseluruhan RM2.596 billion hari ini, menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan aset keselamatan negara pada tahap kesiapsiagaan tinggi.

MoU itu ditandatangani dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), manakala tiga kontrak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan nilai RM249.5 juta, empat kontrak (Jabatan Imigresen/RM2.22 bilion) serta satu kontrak bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) (RM124.2 juta).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sentiasa komited dalam meletakkan aspek keselamatan nasional sebagai agenda utama khususnya dalam perancangan perolehan.

"Apa yang kita buat ini membuktikan banyak kontrak yang sebenarnya kita sedang kaji bukan hanya yang ini (kontrak ditandatangani hari ini), banyak lagi aplikasi dan penyelesaian diperlukan.

"Ini membuktikan kerajaan beri keutamaan kepada keselamatan dalam negara. Apabila sesuatu perancangan selesai dan kita bagi kontrak serta kita tandatangan membuktikan kita bukan hanya bercakap mengenai perancangan, tetapi kita lantik kontraktor untuk teruskan agenda kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU dan Kontrak KDN sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (Natsec) 2022, di sini, hari ini.

MoU dan kontrak itu ditandatangani Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Mampu Datuk Seri Dr Yusof Ismail dan wakil syarikat tempatan.

Antara kontrak berimpak tinggi ditandatangani adalah perolehan peralatan Satelit X-Band untuk PDRM, projek naik taraf Sistem Pengawasan Laut (Swasla) untuk APMM dan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bagi Jabatan Imigresen.

Hamzah berkata, majlis berkenaan juga adalah simbolik usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan negara terpelihara daripada segala ancaman dengan mengutamakan perolehan aset strategik.

"Ia mendukung tema Pameran DSA dan Natsec 2022 iaitu 'Advancing into a New Era of Defence and Security'. Semoga dengan usaha ini KDN akan kekal komited memastikan keselamatan negara terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 6:30 PM