Nurul Hidayah Bahaudin dan Mohamad Ashyiq Haqimi


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan menandatangani 54 perjanjian bernilai RM4.6 billion menerusi Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, jumlah itu membabitkan 20 surat setuju terima (LOA) berjumlah RM1.14 billion, 24 kontrak (RM3.32 billion), surat niat (LOI) (RM152.79 juta) dan tiga memorandum persefahaman (MoU).

"Pada masa sama, saya mahu mengumumkan aset baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu kenderaan perisai tempur (APC) digunakan dalam operasi MALBATT 850 di Lubnan, 155 milimeter (mm) meriam kendiri Howitzers, jambatan logistik bagi Rejimen Askar Jurutera Diraja, trak tiga tan trak untuk kegunaan logistik dan senjata anti kereta kebal ringan untuk pasukan khas.

"Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), aset baharu adalah tiga helikopter utiliti AW 139 buatan Itali selain tiga kapal misi persisir pantai (LMS) dan 13 bot pemintas laju (FIC)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hishammuddin Hussein ketika sidang media di Pameran DSA dan NATSEC Asia di MITEC, Kuala Lumpur hari ini. Foto Asyraf Hamzah
Hishammuddin Hussein ketika sidang media di Pameran DSA dan NATSEC Asia di MITEC, Kuala Lumpur hari ini. Foto Asyraf Hamzah

Hishammuddin berkata, bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula mendapat aset baharu membabitkan 36 Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) melalui dua fasa.

"Ia bagi mengantikan MiG-29N/UB yang dihentikan operasi pada 2017 dan pesawat pejuang Hawk yang berkhidmat selama 32 tahun sehingga 2026 selain pesawat latihan Aermacchi (MB-339CM) yang berkhidmat bagi 22 tahun hingga 2030.

"Selain itu, kami merancang mendapatkan perolehan tiga Sistem Pertahanan Udara Jarak Jauh (LORAD), Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD), Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS), Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial Surveillance (MALE-UAS) dan Pesawat Pemantau Maritim (MPA)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 6:59 PM