Kereta dipandu wanita warga emas merempuh kedai makan di Batu 13, Hulu Langat, semalam. Foto Ihsan PDRM
Kereta dipandu wanita warga emas merempuh kedai makan di Batu 13, Hulu Langat, semalam. Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kajang: Tertekan pedal minyak yang disangka brek kerana pitam menyebabkan seorang wanita warga emas yang memandu kereta Toyota Vios merempuh kedai makan di Batu 13, Hulu Langat di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 12.50 tengah hari itu, wanita warga emas berusia 53 tahun itu tiba di kawasan parkir di hadapan kedai makan sebelum pitam dan mahu menekan brek.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, warga emas terbabit tersilap apabila tertekan pedal minyak dan gagal kawal kenderaannya menyebabkannya melanggar sebuah motosikal di kawasan parking kedai dan seterusnya merempuh masuk ke dalam kedai makan sebelum melanggar peralatan di dalam kedai.

Menurutnya, akibat dari rempuhan itu, seorang pelanggan wanita yang ketika itu sedang mengambil makanan mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, pelanggan lain yang berada di dalam kedai makan itu tidak mengalami kecederaan, manakala pemilik kedai mengalami kerosakan pada harta benda sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 5:06 PM