Tangkap layar daripada video tular yang menunjukkan pemandu Toyata Hilux hilang kawalan selepas pitam.
Tangkap layar daripada video tular yang menunjukkan pemandu Toyata Hilux hilang kawalan selepas pitam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Seorang lelaki gagal mengawal kenderaannya selepas pitam ketika memandu dan melanggar kenderaan lain serta premis perniagaan di Taman Jenaris di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira 6 petang semalam ketika lelaki 39 tahun itu memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Prima Saujana menghala Kajang.

"Siasatan awal mendapati pemandu itu pitam kerana tidak makan dan menyebabkan kenderaan dipandunya memasuki laluan bertentangan.

"Sebaik dia sedar, lelaki itu panik dan telah melanggar pula kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandu wanita 37 tahun dan sebuah kedai.

"Kedua-dua pemandu bagaimanapun tidak cedera," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan dilakukan mendapati lelaki itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 9:38 AM