GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Melaka: Kereta merempuh sebuah kedai perabot dan elektrik di Plaza Pandan Malim di sini, hari ini selepas pemandunya dipercayai tersilap ketika hendak menekan brek, apabila dia sebaliknya menekan pedal minyak.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian pada 10.30 pagi itu menyebabkan seorang pelanggan kedai terbabit mengalami luka di kepala, muka, tangan dan kaki serta sakit pinggang.

"Siasatan awal mendapati pemandu kereta itu yang juga wanita warga emas sedang mencari tempat parkir, apabila secara tiba-tiba tayar hadapan sebelah kiri dikatakan berbunyi, menyebabkan dia menekan brek untuk berhenti, namun dia tertekan pedal minyak dan terbabas ke kiri.

"Kereta jenis Perodua Myvi kemudiannya masuk ke dalam kedai terbabit selain turut melanggar seorang pelanggan wanita berusia 45 tahun dan beberapa barangan elektrik di situ," katanya.

Afzanizar berkata, pelanggan yang cedera itu mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara tidak cermat atau tanpa perhatian munasabah sehingga membahayakan orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 8:13 PM