Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Saya ulang sekali lagi, pihak berkuasa tidak akan sesekali menelefon mana-mana orang sebaliknya hanya memaklumkan mereka perlu hadir ke pejabat untuk memberi kerjasama."

Itu peringatan diberikan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang panggilan telefon yang mendakwa mereka adalah pihak berkuasa.

"Penjenayah 'scammer' ini akan mendakwa mereka adalah penjawat awam daripada PDRM, Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan Bank Negara dengan menyatakan siasatan berlaku di bawah pelbagai akta termasuk pengubahan wang haram (AMLA), akta pengganas, Akta Dadah Berbahaya, penyeludupan senjata api.

"(Saya ulangi) Kita tidak akan membuat panggilan telefon untuk temubual, minta nombor akaun, nombor pin dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Jenayah Siber di Malaysia: Impak Leluasa Internet di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, penjenayah siber sukar dikesan kerana mangsa didapati lewat menyedari mereka ditipu dan membuat laporan.

"Terdapat banyak kes penipuan membabitkan mangsa datang membuat laporan seminggu selepas mereka sedar ditipu.

"Ketika itu, segala jejak jenayah sudah hilang dan duit yang dihantar ke dalam akaun keldai pun sudah dikeluarkan," katanya.

TAN Sri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO Aswadi Alias.
TAN Sri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO Aswadi Alias.

Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan rakan strategik di Asia Tenggara dalam usaha membanteras penipuan siber yang dilihat sukar ditangani.

Katanya, kerjasama antara Malaysia dengan negara lain mengenai keselamatan dunia siber sentiasa terjalin memandangkan kes seumpama itu berlaku di seluruh dunia.

"Penipuan sebegini bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja, sebaliknya ia adalah fenomena seluruh dunia yang turut menghadapi perkara sama.

"Disebabkan itu, kerjasama ini sentiasa wujud dalam kalangan pihak berkuasa antara negara kerana kita sama-sama mahu mencegah dan mengatasi penipuan Internet," katanya.

Acryl Sani berkata, antara perancangan yang ingin dilaksanakan pihaknya adalah berkongsi Buku Jenayah Siber di Malaysia yang mempunyai maklumat serta situasi jenayah siber negara ini.

"Saya amat berharap buku yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu ini akan diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris untuk diperluaskan kepada rakan strategik kita di seluruh negara dan dunia.

"Ia juga akan memberi panduan kepada rakan pihak berkuasa negara untuk berhubung secara 'point to point' di antara pihak berkuasa tertentu untuk kita sama-sama mencegah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 2:13 PM