Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Cheras: Orang ramai dinasihatkan menggunakan portal dan aplikasi 'Semak Mule' bagi memeriksa akaun bank dan nombor telefon yang digunakan sindiket penipuan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, aplikasi berkenaan mula diperkenalkan pada Januari tahun lalu dan boleh dimuat turun menerusi telefon pintar.

"Polis mengambil inisiatif membangunkan aplikasi mudah alih Semak Mule untuk membolehkan masyarakat semak akaun bank dan nombor telefon yang mempunyai rekod jenayah secara sahih.

"Masyarakat boleh akses aplikasi ini di mana jua mereka berada untuk membuat semakan awal sebelum mereka menjadi mangsa penipuan," katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Terdahulu, Acryl merasmikan Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersil dan Pelancaran Portal dan Aplikasi Semak Mule.

Acryl berkata, pada 2019, sebanyak 28,508 kes penipuan atas talian dilaporkan dengan jumlah kerugian mencecah RM2.4 bilion.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dengan modus operandi penjenayah siber ini.

Asisten Superintendan Haryanti Che Mat (kanan) bersama Asisten Superintendan Norazura Din menunjukkan aplikasi Semak Mule pada Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersial dan Pelancaran Aplikasi Semak Mule di Maktab PDRM, Cheras. FOTO Aizuddin Saad
Asisten Superintendan Haryanti Che Mat (kanan) bersama Asisten Superintendan Norazura Din menunjukkan aplikasi Semak Mule pada Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersial dan Pelancaran Aplikasi Semak Mule di Maktab PDRM, Cheras. FOTO Aizuddin Saad

"Apa saja urusan berkaitan dengan akaun, tangkapan dan kes hanya diselesaikan di pejabat sama ada di balai polis, mahkamah atau pejabat tanah dan bukan dengan panggilan telefon," katanya.

Orang ramai yang ingin menggunakan aplikasi ini boleh memuat turun Semak Mule di platform Google Playstore.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 12:39 PM