Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah membuat persediaan kawalan keselamatan menjelang pembukaan sempadan, Jumaat ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pembukaan sempadan negara akan menyaksikan situasi negara kembali kepada asal sebelum penularan pandemik Covid-19.

"Bila buka sempadan, kita akan kembali kepada (situasi) asal. Seperti mana agensi lain, kami juga membuat persedian khususnya di kawasan sempadan iaitu di Utara serta Selatan Semenanjung selain di Sabah dan Sarawak.

"Kita punya elemen-elemen termasuk PGA yang sudah digerakkan untuk membuat pemantauan yang dipertingkatkan. Kita harap dengan pembukaan sempadan ini akan memudahkan orang awam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Pelancaran Buku Jenayah Siber di Malaysia di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Acryl berkata, pihak polis juga akan melancar program di Kota Bharu, Kelantan dan kedah oleh PGA.

"Ia bagi memaklumkan kepada orang ramai bahawa kita sudah bersiap sedia untuk menangani apa jua perkara yang timbul susulan pembukaan sempadan," katanya.

Pada 8 Mac lalu, kerajaan memutuskan untuk membuka semula sempadan negara pada 1 April ini susulan fasa peralihan ke endemik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan keputusan itu dibuat bersandarkan tiga perkara iaitu fakta terkini Covid-19, keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 11:46 AM