Nurul Hidayah Bahaudin


SEMUA agensi kerajaan diminta supaya berhati-hati menggunakan aplikasi dalam talian susulan ancaman serangan siber sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya ada menerima surat peringatan daripada Agensi Keselamatan Siber Negara yang mengingatkan supaya agensi kerajaan berhati-hati dengan serangan siber dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Surat pemakluman itu mengingatkan semua agensi kerajaan supaya berhati-hati menggunakan aplikasi dalam talian termasuk Zoom. Untuk makluman, aplikasi Zoom adalah aplikasi peribadi yang boleh dimuat turun secara percuma.

“Setakat ini, pihak polis tidak membuat tele sidang menggunakan aplikasi berkenaan. Saya difahamkan aplikasi ini popular untuk mengadakan kelas secara dalam talian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO ROHANIS SHUKRI
Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO ROHANIS SHUKRI

Terdahulu, satu peringatan kepada semua agensi kerajaan mengenai ancaman serangan siber tular di media sosial, baru-baru ini.

Acryl Sani turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati melakukan sebarang transaksi secara dalam talian.

“Orang ramai diingatkan bahawa tiada agensi kerajaan mahupun perbankan yang akan berurusan melalui telefon kecuali untuk mengadakan temu janji perjumpaan di balai atau premis agensi berkenaan.

“Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak memberikan sebarang maklumat peribadi kepada pihak ketiga bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 5:49 PM