Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

UMAT Islam di wilayah Songkhla, selatan Thailand hari ini menunaikan solat Jumaat pertama selepas larangan pada 27 Mac lalu dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Hampir 400 umat Islam di Pekan Chana, Songkhla menunaikan solat Jumaat di Masjid Nuruddin Chana yang berlangsung selama kira-kira 20 minit.

Khutbah Jumaat disampaikan pentadbir sebuah sekolah swasta di Chana, Abdul Fattah Yahya.

Khatib Masjid Nuruddin Chana, Muhamad Husin berkata, semua jemaah yang menunaikan solat Jumaat hari ini diwajibkan memakai pelitup muka, menjalani saringan suhu badan dan menggunakan cecair pencuci tangan sebelum memasuki masjid dan bagi mereka yang suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius tidak dibenarkan solat.

"Selain itu, umat Islam yang solat di masjid perlu mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing-masing. Mereka perlu mengamalkan penjarakan sosial 1.5 hingga 2 meter," katanya kepada Bernama.

Pada 3 Mei lalu, Sheikhul Islam Thailand Aziz Phitakkumpon mengumumkan bahawa umat Islam di Songkhla dibenarkan menunaikan solat Jumaat.

Majlis Agama Islam di setiap wilayah dan imam di masjid serta surau perlu berbincang dan mendapatkan kebenaran daripada gabenor untuk melakukan solat Jumaat.

Bagaimanapun, aktiviti solat tarawih secara berjemaah dan berbuka puasa di masjid dan surau masih dilarang.

Setakat ini, wilayah-wilayah majoriti Islam yang lain di Selatan Thailand seperti Pattani, Yala dan Narathiwat masih dilarang menjalani solat Jumaat berikutan kes Covid-19 di wilayah berkenaan masih tinggi.

Ketiga-tiga wilayah ini diberi tempoh dua minggu untuk pemantauan.

Sehingga hari ini, Thailand mencatatkan 3,000 kes Covid-19 dengan 55 kematian. Di Yala, sebanyak 122 kes dilaporkan, Pattani (79), Songkhla (44), Narathiwat (25).

Thailand sudah mengumumkan perintah darurat dilanjutkan sehingga 31 Mei bagi menangani penularan pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 11:39 PM