AREF mempamerkan tiga ikan kerapu cantik masih hidup yang ditangkap dengan menggunakan bubu sejurus selepas mendarat di Pangkalan Nelayan Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
AREF mempamerkan tiga ikan kerapu cantik masih hidup yang ditangkap dengan menggunakan bubu sejurus selepas mendarat di Pangkalan Nelayan Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Melaka: Ikan masih hidup menjadi rebutan kebanyakan pelanggan di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, berikutan kesegaran dan keenakannya.

Sehubungan itu, ia menjadi idaman nelayan setiap kali turun ke laut berikutan harganya lebih tinggi berbanding ikan mati.

Nelayan Aref Bugal, 58, berkata semakin ramai nelayan di kawasan itu sanggup mengeluarkan perbelanjaan bagi mendapatkan bubu.

"Sebelum ini tidak ramai nelayan yang mempunyai bubu, tetapi sejak beberapa tahun lalu, alat menangkap ikan berbentuk sangkar yang diperbuat daripada dawai itu menjadi antara pilihan nelayan.

"Bubu berharga antara RM100 hingga RM150 satu, bergantung pada saiznya dan ia mampu bertahan antara satu hingga dua tahun," katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Aref yang bertindak sebagai awak-awak bersama tekong, Mohd Zahid Baba, 49, turun ke laut dengan menggunakan perahu gentian kaca pada 7 pagi, hari ini, sebelum naik ke pangkalan tiga jam kemudian.

Mereka menarik bubu yang dibuang atau dipasang di dasar laut kira-kira satu batu nautika dari pantai, kira-kira dua minggu lalu.

Bubu dibiarkan di dasar laut antara satu hingga dua minggu bagi membolehkan ikan terperangkap di dalamnya, sebelum ditarik naik.

Aref berkata, mereka memperoleh tiga ikan 'kerapu cantik' seberat kira-kira 10 kilogram, semalam dan dijual pada harga antara RM45 hingga RM48 sekilogram bagi yang masih hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 3:50 PM