BAHIYUDIN Awang sedang menyiapkan bubu yang menggunakan struktur rotan. FOTO Rosli Ilham
BAHIYUDIN Awang sedang menyiapkan bubu yang menggunakan struktur rotan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Bubu diperbuat dengan rotan mampu menarik kehadiran ikan berbanding bubu daripada kayu.

Nelayan, Bahiyuddin Awang, 35, berkata, bubu rotan akan menjadi tumpuan pelbagai jenis ikan kerana ia berbau masam sebaik direndam ke dalam laut.

"Bau masam dari rotan itu menjadi tarikan ikan, sekali gus mampu mendatangkan hasil pendapatan lumayan.

"Bubu rotan tidak perlu diletakkan umpan berbanding bubu biasa dan keadaan itu menjimatkan perbelanjaan saya daripada membeli umpan," katanya ketika ditemui di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Dungun, hari ini.

Menurutnya, atas kemahiran dimiliki, setiap bubu dihasilkan itu hanya menelan kos sekitar RM250 berbanding bubu dibeli dengan harga RM350.

Katanya, selain menggunakan kaedah paku, kawasan berpaku itu diikat sekali lagi dengan tali yang mampu bertahan sehingga sembilan bulan berbanding bubu biasa hanya enam bulan.

"Setakat ini, saya mempunyai 80 bubu dan setiap kali ada bubu rosak, saya akan segera membuat bubu baru.

"Setiap kali keluar ke laut, saya akan 'menahan' 50 bubu dan kembali semula tiga hingga empat hari selepas itu untuk mengambil hasil tangkapan.

"Saya menahan bubu sekitar jarak 50 batu nautika di kawasan unjam dan tukun dibuat nelayan dan dikenal pasti menjadi tumpuan ikan 'bermain'," katanya yang mempunyai empat awak-awak.

Bahiyuddin berkata, antara ikan ditangkap adalah ikan merah, jenahak, kerapu, siakap, jemuduk serta sotong dan setiap kali turun ke laut, dia mampu memperoleh pendapatan sekitar RM5,000 hingga RM15,000.

Dia yang sebelum ini menjadi nelayan pukat jerut kini beralih menggunakan kaedah bubu sejak 10 tahun lalu selepas menyedari kaedah bubu mampu menghasilkan pendapatan lebih baik.

Katanya sejak menggunakan bot, dia berjaya menyelesaikan pinjaman bot sebanyak RM180,000 tahun lalu dan kini sedang mengumpul wang untuk membeli sebuah lagi bot.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 6:01 PM