WARGA Myanmar yang ditahan APMM Selangor bersama 135 bubu naga di perairan Sekinchan, semalam. FOTO Ihsan APMM.
WARGA Myanmar yang ditahan APMM Selangor bersama 135 bubu naga di perairan Sekinchan, semalam. FOTO Ihsan APMM.
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Tiga awak-awak warga Myanmar nekad terjun ke dalam laut untuk mengelak daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor di perairan Sekinchan, di sini, semalam.

Dalam kejadian 1.45 petang itu, bot terbabit ditahan selepas dipercayai membawa lima set bubu naga untuk aktiviti menangkap ikan.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar, berkata penahanan dibuat susulan maklumat awam dan risikan.

"Bot gentian kaca itu ditahan pada kedudukan 1.8 batu nautika barat daya Sekinchan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima set bubu naga manakala tiga awak-awak dipercayai terjun ke laut untuk meloloskan diri," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan, Siva Kumar berkata, pihaknya menahan dua lagi bot di kedudukan 1.5 batu nautika perairan yang sama.

Beliau berkata, sebanyak 130 set bubu naga dirampas dan enam awak-awak warga Myanmar berusia 20 hingga 55 tahun ditahan.

"Enam lelaki ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Mereka dan tiga bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.

"Ketiga-tiga kes ini disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959 /63," katanya.

Siva Kumar berkata, pihaknya meningkatkan penguatkuasaan susulan aduan yang sering diterima mengenai segelintir komuniti nelayan yang masih berdegil menggunakan bubu naga.

"Penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin yang berpotensi pupus selain menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

"Sebarang aduan atau maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 12:48 PM