DUA perahu gentian kaca dirampas Jabatan Perikanan selepas dua tekong dan dua awak-awak ditahan kerana menangkap ikan tanpa lesen di perairan pesisir pantai Bukit Punggur, Melaka. FOTO Hassan Omar
DUA perahu gentian kaca dirampas Jabatan Perikanan selepas dua tekong dan dua awak-awak ditahan kerana menangkap ikan tanpa lesen di perairan pesisir pantai Bukit Punggur, Melaka. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Melaka: Guna peralatan menangkap ikan diharamkan hingga menjadi punca kematian spesis hidupan laut terancam membabitkan penyu dan ikan lumba-lumba di perairan Melaka.

Itu antara kegiatan empat nelayan membabitkan dua tekong dan dua awak-awak yang ditahan Jabatan Perikanan Melaka (JPM) dalam operasi di perairan pesisir pantai Bukit Punggur, di sini, semalam.

Pengarah JPM Mohd Fauzi Solehon berkata, kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan dalam Ops Bersepadu Perlindungan Sumber (PS) yang dijalankan Jabatan Perikanan Melaka (JPM) bersama Polis Marin Melaka.

Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan tekong dan awak-awak di pesisir pantai Bukit Punggur pada jam 1 tengah hari kerana menangkap ikan tanpa lesen dan perahu yang digunakan bukan milik sendiri.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menjumpai satu pukat hanyut, dua bakul rawai (alat menangkap ikan menggunakan mata kail) dan satu enjin motor sangkut 15 kuasa kuda pada perahu berkenaan.

Katanya, tangkapan kedua membabitkan tekong dan awak-awak di pesisir pantai yang sama pada jam 1.15 tengah hari kerana menangkap ikan tanpa lesen.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menjumpai satu pukat hanyut, dua bakul rawai dan satu enjin motor sangkut 15 kuasa kuda pada perahu gentian kaca yang tiada nombor pendaftaran itu.

Mohd Fauzi berkata, keempat-empat nelayan berusia antara 25 hingga 35 tahun itu dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 dan peralatan serta perahu terbabit disita.

Jumaat lalu, bangkai ikan lumba-lumba berusia 15 tahun dengan berat 250 kilogram dan sepanjang 2.55 meter, dijumpai terdampar di Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini.

Spesies terancam itu dipercayai mati akibat tersangkut pada jaring berikutan siasatan pegawai jabatan itu mendapati ada kesan kecederaan pada kepala ikan, dipercayai akibat terkena pukat nelayan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:14 PM