Anuar (dua dari kanan) memeriksa sebahagian bot nelayan yang ditahan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Anuar (dua dari kanan) memeriksa sebahagian bot nelayan yang ditahan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed


JABATAN Perikanan Kelantan menahan sembilan bot nelayan bersama 18 tekong dan awak-awak berusia 20 hingga 60 tahun kerana menceroboh kawasan larangan sepanjang 100 kilometer dari Kuala Besar, Kota Bharu hingga Tok Bali, Pasir Puteh.

Kawasan terletak dua batu nautika dari pantai itu dilarang bagi sebarang penangkapan ikan dan hasil laut kerana boleh menjejaskan pembiakan marin.

Pengarah Perikanan Kelantan Anuar Salam Sulaiman berkata, semua bot dan nelayan warga tempatan itu ditahan pada jam 9 pagi semalam hasil maklumat Sukarelawan Perikanan (SUPER).

"Mereka ini dikesan kerana melanggar peraturan menangkap ikan di lokasi ditetapkan mengikut Seksyen 11 (3)(C) Akta Perikanan 1985.

"Bot yang ditahan dibawa ke Pengkalan Perlindungan Sumber Perikanan Tawang, Bachok dan kita juga merampas semua peralatan digunakan mereka termasuk pukat tundak dianggarkan bernilai RM4,000," katanya ditemui di Tawang, Bachok, hari ini.

Anuar Salam berkata, mengikut syarat, nelayan tidak dibenarkan menangkap hasil laut di kawasan antara dua hingga lima batu nautika dari pantai.

Malah, bot digunakan juga tidak boleh diubah suai untuk menarik hasil laut terutama dengan menggunakan pukat tunda.

"Hanya pukat hanyut, bubu atau pancing dibenarkan digunakan untuk menangkap hasil laut.

"Siasatan juga dapati nelayan berkenaan berada di kawasan berkenaan dalam tempoh setengah jam," katanya.

Susulan itu, beliau memuji langkah SUPER yang pantas dan segera menyalur bantuan sekiranya melihat kegiatan mencurigakan di laut.

Katanya, SUPER menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab.

Minggu lalu, lima bot nelayan tempatan yang melakukan kesalahan sama ditahan di Kuala Senerak, Sungai Gali dan Tok Bali, Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 10:38 PM