Hamzah ketika sidang media selepas melakukan walkabout pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. FOTO BERNAMA
Hamzah ketika sidang media selepas melakukan walkabout pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pelan utama yang komprehensif mengenai strategi pertahanan dan keselamatan dalam negara akan dibentangkan kepada Kabinet.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kerangka 'masterplan' itu adalah kolaborasi antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan yang menumpukan kepada isu keselamatan serta pertahanan pada masa hadapan.

Menurutnya, pelan menyeluruh itu membabitkan kawalan sempadan darat dan maritim termasuk laluan tikus sebagai penyelesaian terbaik.

"Isu membabitkan keselamatan sempadan negara tidak patut diletakkan atas bahu Kementerian Pertahanan semata-mata sebaliknya perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

"Contoh terbaik adalah Ops Benteng yang dijalankan sejak dua tahun lalu, membuktikan kedua-dua kementerian berjaya lakukannya secara bersama. Apabila hendak pertahankan sempadan negara, kami perlu lakukan secara bersama.

"Disebabkan itu, kami akan menghasilkan satu pelan komprehensif untuk dikemukakan kepada kerajaan. Ia tidak fokus kepada Sabah sahaja sebaliknya semua sempadan di termasuk Kalimantan-Sarawak, Thailand-Semenanjung, Selat Melaka dan lorong-lorong tikus di Batam, Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Husein berkata, kedua-dua kementerian itu akan melaporkan perancangan kementerian kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Perkara-perkara itu kita tidak boleh umum namun saya percaya gandingan dan gabungan kedua-dua kementerian akan menentukan hala tuju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 1:23 PM