ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SERAMAI 52 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 11 individu direman, seorang dijamin manakala 40 individu dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar PKP termasuk melakukan aktiviti dengan membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar SOP (prosedur operasi standard).

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 64,414 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sejak 1 Mei hingga kelmarin, seramai 1,598 pendatang asing tanpa izin (Pati), 526 tekong serta 110 penyeludup ditahan.

"Turut ditahan 54 bot dan 156 kenderaan yang terbabit dalam percubaan menceroboh sempadan negara.

"PDRM membuat 68 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 37,001 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati terutama di lorong tikus," katanya.

Ismail Sabri berkata, lima warganegara asing turut ditahan membabitkan pelbagai kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 3:27 PM