LIMA’23 kali ini dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 delegasi dari dalam dan luar negara. FOTO Arkib NSTP
LIMA’23 kali ini dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 delegasi dari dalam dan luar negara. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) yang dijangka berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini, akan disertai lebih 600 syarikat pempamer daripada industri pertahanan tempatan dan antarabangsa.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, 80 peratus daripada mereka sudah menyatakan komitmen untuk menyertai pameran berkenaan.

Beliau berkata, LIMA'23 kali ini juga dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 delegasi dari dalam dan luar negara.

"Saya berharap LIMA'23 akan berjaya seperti penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC ASIA) pada tahun lalu.

"Saya menyeru semua pihak agar dapat bersama jayakan pameran ini yang kali terakhir dilaksanakan pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda negara," katanya ketika berucap sempena Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2023 di Auditorium Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Pameran LIMA kali terakhir dianjurkan pada 2019, dan selepas itu ia ditunda ekoran negara dilanda Covid-19.

Sementara itu, Mohamad turut menzahirkan harapan agar Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang dibubarkan 31 Disember lalu dikembalikan semula kerana ia dilihat memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan mempertahankan keselamatan negara secara berterusan pada masa akan datang.

Beliau berkata, perkara itu dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini, untuk pertimbangan dan tindakan kerajaan selepas Op Benteng menerusi NTF mencapai kejayaan dalam menjamin keselamatan di sempadan negara dan mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, sekali gus membendung penularan Covid-19.

Mohamad berkata, kementeriannya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga komited untuk meneruskan agenda pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan (KPP) bagi tempoh 2021-2030 termasuk penerbitan dokumen susulan bagi Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara, Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan dan Pelan Pelaburan Pertahanan Negara.

Beliau berkata, pelaksanaan KPP akan disokong oleh Pelan Strategik MINDEF bagi 2021 hingga 2025.

"Bagi memastikan kejayaan agenda ini, kerjasama daripada semua warga MINDEF dan ATM amat diperlukan dan berusaha dengan penuh bertanggungjawab bagi memastikan petunjuk prestasi utama kementerian dapat dicapai tahun ini," katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 1:43 PM