Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pembukaan semula sempadan darat Malaysia-Singapura selepas lebih dua tahun disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan buat rakyat negara ini yang bekerja di republik itu.

Apatah lagi mereka juga tidak perlu lagi menjalani kuarantin tujuh hari bermula 1 April ini sekali gus membolehkan mereka berulang-alik setiap hari seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Lebih manis, peluang kembali ke tanah air itu juga diibaratkan sebagai anugerah terindah khususnya kepada pekerja beragama Islam selepas hampir dua tahun tidak menyambut Ramadan bersama keluarga tersayang.

Juruteknik, Yan Sofian Mustafa, 36, berkata, detik pembukaan sempadan memang dinanti-nanti kira-kira 200,000 rakya Malaysia yang berada di Singapura.

"Alhamdulillah, akhirnya pembukaan sempadan menjadi realiti 1 April ini selepas lebih dua tahun kami menanti dengan penuh sabar.

"Sudah tentulah ia berita yang sangat menggembirakan buat kami dan keluarga yang sudah lama terpisah. Namun diharapkan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan nanti membolehkan kami berulang-alik setiap hari semula.

PENUMPANG di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor. Malaysia akan membuka semula pintu sempadannya dengan Singapura pada 1 April 2022. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PENUMPANG di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor. Malaysia akan membuka semula pintu sempadannya dengan Singapura pada 1 April 2022. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Tarikh pembukaan sempadan 1 April ini sangat bermakna kepada saya dan keluarga apatah lagi ia tarikh ulang tahun perkahwinan saya dan isteri. Saya berharap dapat pulang ke Johor Bahru hari itu," katanya ketika dihubungi.

Malaysia dan Singapura bersetuju membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang lengkap vaksinasi sejajar dengan peralihan kehidupan ke fasa mendepani endemik Covid-19.

Dalam pada itu, pekerja Malaysia di Singapura yang ditemui di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Habbatallah Mohd Bahari, 44, berkata, pengumuman itu adalah berita yang paling dinantikannya.

Katanya, sepanjang tempoh sempadan tidak dibuka itu, dia hanya dapat pulang ke pangkuan keluarga sekali sahaja iaitu kira-kira selepas setahun daripada sempadan negara ditutup.

"Jika betul kita sudah boleh ulang-alik memang berita paling gembira buat kami dan rakan-rakan Malaysia yang masih berada di sana (Singapura). Kita sudah tunggu pengumuman ini hampir dua tahun, akhirnya berlaku juga.

"Memang kita ada balik sebelum ini, tetapi jika benar tidak perlu kuarantin dan buat ujian kendiri hari-hari, memang membantu sangat. Lagi bila nak dekat puasa ini, mudahlah untuk kami bersama keluarga.

"Dalam masa sama, banyak benda boleh dijimatkan. Mungkin tidak perlu lagi menyewa di sana dan boleh lihat keluarga dengan lebih kerap," katanya.

Sementara itu, bagi seorang lagi pekerja di Singapura, Mohd Farizuan Abdul Shukor, 29, kelonggaran yang diberikan kerajaan itu juga adalah relevan terutama membabitkan perkara kecemasan.

"Dalam tempoh beberapa tahun ini, kita memang boleh balik, tetapi bukan serta-merta. Bukan juga terus balik tanpa kuarantin. Jadi jika ada masalah kecemasan seperti kematian atau sebagainya, kita tidak akan boleh berada di kampung tepat pada masanya.

"Saya mempunyai seorang ibu, jadi jika betul selepas ini tidak perlu lagi kuarantin, ia amat melegakan kerana apa-apa jadi saya boleh terus ke kampung tanpa sebarang masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 11:33 AM