Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Penerima vaksin Sinovac termasuk golongan warga emas yang tidak mengambil dos penggalak menjelang 1 April ini tidak layak menikmati kemudahan seperti mereka yang mendapat vaksinasi lengkap.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, tiada tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mereka.

Menurutnya, tidak ada tindakan undang-undang kerana ia bukan wajib dari segi undang-undang.

"Kalau ada pun dia (penerima Sinovac tidak mengambil dos penggalak) tak dapat menikmati kelonggaran seperti dinikmati penerima vaksinasi lengkap tertakluk kepada SOP (prosedur operasi standard).

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"Namun bagi penerima Sinovac yang ambil dos penggalak selepas 1 April, serta-merta status mereka dilengkapkan semula," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam siaran di media sosial menganggarkan 2.37 juta rakyat Malaysia akan kehilangan status vaksin lengkap menjelang 31 Mac 2022.

Berhubung perkara itu, Khairy berkata, kumpulan itu akan dipujuk untuk mengambil dos penggalak.

"Ini kerana bukan saja dari segi untuk kemudahan mereka tetapi kebaikan yang mereka dapat dengan dos penggalak.

"Ramai cakap saya tak nak, tak perlu. Untuk penerima Sinovac (sebelum dos penggalak) ia berkesan untuk hindari kematian dan keterukan akibat Covid-19.

"Tetapi selepas beberapa bulan menurun (kesan imuniti). AstraZeneca dan Pfizer pun menurun tetapi Sinovac agak ketara menurun. Jika jangkit gejala tak teruk sangat selepas menerima dos penggalak," katanya.

Beliau berkata, untuk vaksin Sinovac lengkapnya adalah tiga iaitu dua dos campur satu dos lagi.

"Ini adalah amalan antarabangsa bukan amalan KKM (Kementerian Kesihatan) saja.

"Di Singapura juga layanan tanpa kuarantin untuk Sinovac adalah tiga dos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 8:45 PM