FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 188,162 penduduk di negeri ini berisiko kehilangan status lengkap vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera bermula 1 April ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo berkata, daripada jumlah itu, seramai 111,858 adalah indvidu 18 tahun ke atas menerima dua dos vaksin Sinovac namun belum menerima dos penggalak atau ketiga.

"Seramai 76,304 lagi adalah penduduk berusia lebih 60 tahun yang sudah menerima dos lengkap bukan Sinovac tetapi belum menerima dos penggalak.

"Jumlah ini adalah anggaran bilangan penduduk Kedah berdasarkan bilangan penerima dos penggalak semasa sehingga hari ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan kerajaan tidak akan berkompromi lagi dengan penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas termasuk individu berusia lebih 60 tahun yang belum mengambil suntikan dos penggalak hingga mengakibatkan mereka kehilangan status vaksinasi lengkap mulai 1 April ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata ini kerana kerajaan sudah memberikan masa yang mencukupi bagi memudahkan golongan itu mendapatkan dos penggalak sebagai ikhtiar melindungi diri mereka daripada Covid-19.

Mengulas lanjut, Dr Othman berkata sehingga kini, bilangan penduduk 18 tahun ke atas yang tidak menerima suntikan vaksin adalah 91,464 orang.

Katanya, seramai 72,444 penduduk 18 tahun ke atas pula hanya menerima vaksin dos pertama.

Justeru pihaknya meminta agar penerima vaksin Sinovac dan individu berusia lebih 60 tahun segera mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak sebelum Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 6:16 PM