GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO AFP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO AFP
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Berita baik kepada bakal jemaah umrah yang terhalang disebabkan menjadi penerima vaksin Sinovac selepas tidak diperakui Arab Saudi apabila kerajaan membenarkan mereka memohon mendapatkan dos penggalak.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah pun memaklumkan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bahawa bakal jemaah boleh memohon mendapatkan dos penggalak melalui MySejahtera.

Beliau berkata, permohonan itu boleh didapati di 'helpdesk' dalam masa terdekat menerusi ciri MySejahtera yang dipertingkatkan.

"Kita akan keluarkan satu ciri baharu dalam kadar segera melalui MySejahtera. 'Help desk' akan ada satu ciri baru dalam masa yang terdekat.

"Mungkin pada minggu depan, mereka boleh pohon untuk mendapatkan dos penggalak. Ini hanya bagi mereka yang pergi negara memerlukan dos tambahan berkenaan.

"Dos penggalak ini hanya dihadkan kepada kumpulan yang saya sebutkan seperti barisan hadapan, berusia atas 60 tahun dan sebagainya, kecuali mereka sebagai contoh nak pergi umrah, Arab Saudi syaratkan dan dalam keadaan itu kita benarkan," katanya dalam sidang media secara hibrid, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy menjawab soalan wartawan berkenaan mereka yang akan pergi ke umrah dan tidak dapat berbuat demikian baru-baru ini kerana mereka disuntik Sinovac, bagaimana mereka boleh memohon secara terus untuk mendapatkan dos penggalak.

Untuk rekod, kerajaan Arab Saudi ketika ini hanya memperakui dan membenarkan kemasukan jemaah yang mengambil suntikan vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca saja.

Syarat kerajaan Arab Saudi, penerima vaksin Sinovac pula dikehendaki mengambil dos penggalak daripada jenis Pfizer dan AstraZeneca yang diiktiraf di negara ini.

Semalam, TH memohon kerjasama pihak berwajib khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membantu penerima vaksin Sinovac mendapatkan dos penggalak bagi membolehkan mereka menunaikan ibadat umrah.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel and Services Sdn Bhd (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali dilaporkan berkata, beliau mewakili jemaah umrah di negara ini mengharapkan pertimbangan pihak berwajib atas ruang yang ada bagi membolehkan penerima vaksin Sinovac mendapat dos penggalak.

"Ini kerana isu vaksinasi menyebabkan penerima vaksin Sinovac tidak layak dan gagal menetapkan tarikh menunaikan ibadah umrah kerana masih tertunggu kebenaran daripada Arab Saudi.

"Kita percaya dengan KKM dan harap niat ikhlas mereka (bakal jemaah) membuahkan hasil hingga dapat nikmati peluang menunaikan umrah," katanya dipetik berkata kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara THTS dan TheNoor yang dilantik sebagai Rakan Kembara Rasmi di Hotel TH Kelana Jaya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 8:21 PM