DATUK Mohd Kamarudin Md Din. FOTO arkib NSTP
DATUK Mohd Kamarudin Md Din. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sindiket Macau Scam semakin licik memperdayakan mangsa apabila dikesan menggunakan jerat terbaru dengan menyamar sebagai wakil insurans.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, secara asasnya, modus operandi sindiket itu sama dengan menghubungi mangsa menerusi panggilan telefon.

"Individu terbabit (yang menghubungi mangsa) akan mendakwa mereka sebagai wakil insurans sebelum memaklumkan bahawa mangsa ada membuat tuntutan insurans palsu.

"Mangsa yang menafikan perkara itu kemudian diminta membuat laporan polis melalui panggilan telefon.

"Menerusi panggilan telefon itu, mangsa diarahkan menyerahkan maklumat perbankan bagi tujuan siasatan sehingga menyebabkan mereka kehilangan wang," katanya ketika dihubungi.

Mohd Kamarudin berkata, sebanyak 68 kes membabitkan modus operandi baharu itu dilaporkan sejak Januari hingga 14 April lalu membabitkan kerugian lebih RM8.6 juta.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali.

"Dapatkan pengesahan lanjut daripada agensi berkaitan atau hubungi CCID Response Center di talian 03-26101599/03-26101559," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 8:19 PM