Mohamed Farid Noh

[email protected]

Johor Bahru: Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) merancang untuk mengadakan mogok dengan menyerahkan bas milik pengusaha bas daripada golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seluruh negara kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Pengerusinya, R Thiagarajan mendakwa, ia berikutan kebajikan pengusaha bas PKMS di seluruh negara tidak terbela dan kian tenat susulan masih terbelenggu isu pinjaman yang kian meningkat.

Katanya, ada kira-kira 20,000 bas dimiliki pengusaha PKMS membabitkan bas sekolah, pekerja dan persiaran dengan 300 pengusahanya muflis berikutan isu pinjaman, terutamanya tidak mampu membayar semula hutang mereka susulan terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Mengikut statistik SGBM, ada 18,000 bas sekolah, 10,000 bas pekerja dan 6,000 bas pesiaran di seluruh negara terjejas dengan isu kredit dengan pengusaha tidak mampu membayar balik pinjaman.

"Pendapatan yang diperoleh tidak cukup bagi membayar pinjaman kepada syarikat kredit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Thiagarajan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar turut memberi maklum balas mahu bertemu pengusaha bas terjejas.

Pada masa sama, Thiagarajan berharap Kementerian Pengangkutan juga tampil mendengar permasalahan dan membantu pihaknya.

"Jika isu ini tiada penyelesaian, kami pengusaha bas PKMS tiada pilihan selain mengadakan mogok dengan menyerah 20,000 bas milik kami kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan di Putrajaya dalam masa terdekat," katanya.

R THIAGARAJAN pada sidang media di Iskandar Puteri, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
R THIAGARAJAN pada sidang media di Iskandar Puteri, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Dalam pada itu, Thiagarajan mendakwa, Kementerian Pengangkutan menganaktirikan pengusaha bas PKMS seluruh negara dan lebih mengambil berat pengusaha bas syarikat besar.

Dakwanya, pelbagai isu yang dihadapi pengusaha bas PKMS cuba disalurkan kepada Kementerian Pengangkutan termasuk menyarankan skim bagi membolehkan golongan itu terus beroperasi dengan aset mereka tidak ditarik syarikat kredit mahu pun ditindas dengan syarat kredit berat sebelah.

"Ahli gabungan kami terutama pengusaha bas ramai dalam kalangan golongan ibu tunggal, namun oleh kerana tiada pembelaan, aset mereka iaitu bas banyak yang ditarik syarikat kredit kerana mereka tidak mampu membayar pinjaman berikutan pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi.

"Namun, kementerian lebih banyak menyediakan skim untuk pengusaha bas besar termasuk skim bagi membeli bas baharu sedangkan pengusaha bas PKMS terus tersepit.

"Apa yang lebih mengecewakan kami, Kementerian Pengangkutan memansuhkan Lesen Perubahan Sementara (LPS) terhadap bas sekolah, menyebabkan pengusaha bas sekolah kini dilarang menyewa khas bas mereka bagi tujuan membawa rombongan termasuk pelajar seperti sebelum ini," katanya.

Thiagarajan berkata, ia menyebabkan pengusaha bas PKMS kian tersepit kerana ia adalah punca pendapatan sampingan mereka terutama membawa rombongan individu yang menyewa khas perkhidmatan bas mereka.

"Pengusaha bas sekolah hanya dibenarkan menawarkan perkhidmatan mengambil dan menghantar pelajar ke sekolah sahaja dengan pemansuhan LPS sedangkan bas pesiaran dibenarkan pula membawa rombongan pelajar. Bagi kami, ia sangat tidak adil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 4:24 PM