Omar Ahmad


RAMAI pengusaha bas di Johor mungkin gulung tikar akibat kehilangan punca pendapatan kesan pandemik Covid-19.

Wakil Perikatan Silaturahim Pengusaha Bas, Van serta Pemandu Bangsa Johor, R Thiagarajan berkata, sektor industri, pelancongan dan sekolah antara yang teruk terjejas akibat wabak itu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, ada dalam kalangan pengusaha bas langsung tiada pendapatan sepanjang PKP dilaksanakan.

"Kami menjangkakan sekiranya sesi persekolahan tidak dibuka hingga akhir tahun, 80 peratus dari pengusaha bas sekolah akan menamatkan operasi mereka.

INDUSTRI bas persiaran, bas sekolah dan bas pekerja yang terkesan Covid-19.  FOTO OMAR AHMAD
INDUSTRI bas persiaran, bas sekolah dan bas pekerja yang terkesan Covid-19. FOTO OMAR AHMAD

"Sesi persekolahan itu penting bagi pengusaha bas sekolah, itu punca pendapatan mereka yang tiada punca pendapatan lain," katanya kepada pemberita di Puteri Harbor, Iskandar Puteri, hari ini.

Katanya, pihaknya akan menyerahkan satu memorandum Kementerian Pengangkutan serta 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor bagi dibahaskan pada Sidang DUN.

Menurut Thiagarajan, bas persiaran turut berdepan masalah bebanan pinjaman kredit kenderaan pelancongan kerana tiada moratorium.

Malah katanya, faedah kelewatan pembayaran juga dikenakan sekiranya pembayaran ansuran lewat.

"Kadar faedah pinjaman kredit bagi kenderaan pelancongan adalah tinggi antara 10 hingga 13 peratus menyukarkan lagi keadaan pengusaha.

"Pengusaha bas ini juga mengalami kesukaran dalam pembayaran gaji dan bil utiliti seperti bil telefon, internet, sewa pejabat, gaji asas pekerja dan pemandu akibat kehilangan sumber pendapatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 2:30 PM