R Thiagajan (kanan) bersama Timbalan Pengerusinya, Uthman Haron pada sidang media khas hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
R Thiagajan (kanan) bersama Timbalan Pengerusinya, Uthman Haron pada sidang media khas hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Lebih 50 peratus daripada kira-kira 40,000 pengusaha industri bas di negara ini gulung tikar akibat tidak dapat beroperasi hampir dua tahun.

Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) R Thiagarajan berkata, kebanyakan pengusaha yang terjejas terpaksa menjual kenderaan dan beralih bidang lain bagi menyara kehidupan.

"Dalam Malaysia kami anggarkan 40,000 pengusaha bas pelbagai jenis termasuk bas sekolah, persiaran dan pekerja. Kita mengunjurkan 50 peratus daripadanya gulung tikar dan tukar bidang lain.

"Ada yang tak mampu membayar pinjaman terpaksa menjual bas mereka, ada yang menjadi peniaga goreng pisang dan bertukar bidang lain untuk kelangsungan hidup.

"Malah, kebanyakan pengusaha bas sekolah terdiri daripada wanita dan ibu tunggal sampai tak makan hingga ada yang terpaksa menelefon kami minta duit. Kami bantu setakat yang mampu sahaja," katanya pada sidang media mengenai nasib pengusaha bas di Bandar Tasik Selatan di sini, hari ini.

Katanya, Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi yang dilancarkan Jun lalu bagi kemudahan kredit sewa beli yang distruktur semula sehingga sembilan tahun dengan yuran jaminan 0.5 peratus setahun sebenarnya tidak berpihak kepada pengusaha.

"Sehingga kini, hanya lima syarikat kredit berlesen daripada 22 syarikat yang menyahut dan memohonnya.

"Apa yang kami lalui sekarang, skim ini tidak membela pengusaha kerana selepas dilancarkan mereka mengenakan faedah tinggi sehingga dua peratus bukan kadar tetap seperti perjanjian asal.

"Kami berharap ada libat urus antara SGBM, syarikat kredit dan Kementerian Kewangan untuk penambahbaikan dalam melaksanakan skim ini supaya mencapai situasi menang-menang," katanya.

Sementara itu, pengusaha bas persiaran dan pekerja, Uthman Haron, 52, berkata, dia menanggung hutang pinjaman bagi dua bas dan berniat menandatangani skim terbabit.

"Pada mulanya niat saya menyertai skim ini bagi menyelesaikan baki pinjaman RM200,000 setiap bas, namun saya rasa ditindas apabila dimaklumkan faedah perlu dibayar RM300,000.

"Ia jauh beza daripada perjanjian asal saya dimaklumkan hanya RM179,000 saja.

"Saya dalam dilema dan diberi masa sehingga 22 Oktober ini untuk menandatangani perjanjian skim itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 5:08 PM