Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kementerian Pengangkutan diharap mengadakan sesi libat urus dengan pengusaha bas berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi bagi membolehkan pengoperasian bas ketika pembukaan sempadan Malaysia, 1 April ini.

Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) R Thiagarajan berkata, SOP terbabit penting kepada pengusaha dan pemandu bas perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mahu merancakkan kembali perniagaan mereka yang sebelum ini terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Berbaki tujuh hari lagi sebelum sempadan negara dibuka. Peranan pemain industri syarikat bas daripada PMKS perlu diambil kira. Bagaimanapun, sehingga kini, pengusaha bas golongan PKMS tidak mendapat makluman rasmi termasuk mengenai SOP yang perlu dipatuhi.

"Kita bimbang banyak syarikat pelancongan sudah mula menawarkan pelbagai pakej bagi menarik kehadiran pelancong ke negara ini biarpun SOP masih belum diumumkan dan pengusaha bas sendiri belum jelas terhadap peraturan dan prosedur pembukaan sempadan negara.

"Jika pengusaha PKMS tidak dibabitkan dalam libat urus pembukaan sempadan, kita bimbang apabila sempadan dibuka nanti, mungkin keadaan menjadi huru-hara, sama ada bas tidak dapat mengambil pelancong atau mereka tidak dapat pulang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.

R. Thiagarajan (dua dari kanan) bersama ahlijawatankuasa dan pengusaha bas menunjukkan kertas cadangan selepas sidang media di Iskandar Puteri, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
R. Thiagarajan (dua dari kanan) bersama ahlijawatankuasa dan pengusaha bas menunjukkan kertas cadangan selepas sidang media di Iskandar Puteri, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sempadan negara akan mula dibuka pada 1 April ini.

Ismail Sabri dipetik berkata, keputusan tersebut bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan memberi keselesaan kepada pengembara dengan tidak merumitkan perjalanan mereka.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad ketika itu, turut menggesa agar kerajaan memuktamadkan segera SOP perjalanan ulang alik harian ke Singapura menjelang pembukaan sempadan negara pada tarikh berkenaan.

Dalam pada itu, Thiagarajan berkata, 300 pemandu bas termasuk bas sekolah dan bas pekerja di negeri ini, sudah beralih bidang dengan bekerja sebagai pemandu lori, menjual makanan dan menjadi pemandu e-hailing akibat terkesan dengan pandemik Covid-19.

"SGBM berharap, dengan pembukaan sempadan negara ini, ia dapat membantu pengusaha bas PMKS kembali bernafas.

"Kami juga berharap peraturan yang dibuat lebih seimbang dan adil dan tidak hanya menyebelahi pengusaha bas besar dengan pengusaha bas PKMS tidak mendapat pembelaan dan disekat dengan pelbagai larangan.

"SOP pembukaan sempadan ini perlu juga diterangkan kepada pengusaha bas PMKS supaya kami dapat membuat persediaan yang diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 3:19 PM