Keadaan motosikal dinaiki dua beradik yang terbabit kemalangan di simpang empat Persiaran Antara Gapi. FOTO IHSAN POLIS
Keadaan motosikal dinaiki dua beradik yang terbabit kemalangan di simpang empat Persiaran Antara Gapi. FOTO IHSAN POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Wanita maut selepas motosikal dinaiki bersama adik perempuannya merempuh kereta dalam kejadian di simpang empat Persiaran Antara Gapi, di sini, hari ini.

Kemalangan jam 11.30 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 27 tahun maut di tempat kejadian.

Manakala adiknya yang juga pembonceng berusia 18 tahun pula dirawat di Hospital Selayang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kejadian itu membabitkan kereta Proton Iswara Aeroback dipandu lelaki berusia 60 tahun dan motosikal Yamaha Ego dinaiki dua beradik perempuan itu.

"Kemalangan berlaku semasa pemandu kereta dari Taman Desa Kaloi, Ulu Yam menghala ke Serendah dilanggar oleh penunggang motosikal yang keluar simpang di sebelah kanan jalan.

"Motosikal itu melanggar kereta terbabit di bahagian hadapan sebelah kanan pemandu," katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk pada kepala dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu supaya menyalurkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 5:39 PM