AHMAD Safwan bersama rakan pada Konvokesyen ke-3 Politeknik METrO Kuantan, kelmarin.
AHMAD Safwan bersama rakan pada Konvokesyen ke-3 Politeknik METrO Kuantan, kelmarin.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: “Penyakit kepala besar (Hydrocephalus) yang pernah saya alami ketika bayi menjadi pembakar semangat kepada diri untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Saya yakin masalah kesihatan yang pernah dialami ada hikmah di sebaliknya hanya Yang Maha Esa mengetahuinya,” kata pelajar Politeknik METrO Kuantan, Ahmad Safwan Abd Rahman, 22.

Menurutnya, selepas menjalani perubatan Islam secara berterusan penyakit kepala besar sembuh dan dia kembali normal sama seperti insan lain yang dianggap suatu anugerah begitu berharga.

Katanya, selepas menamatkan pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, di sini, dia menyambung pengajian peringkat diploma di Politeknik METrO Kuantan dalam jurusan pengurusan dan pelancong.

“Saya bersyukur masalah kesihatan yang pernah dialami suatu ketika dahulu menjadi pembakar semangat untuk mencipta kejayaan dalam akademik.

“Impian saya selepas ini untuk memiliki segulung ijazah sebagai hadiah kepada keluarga yang banyak memberi sokongan dan dorongan untuk berjaya dalam akademik,” katanya yang menetap di Sungai Isap, di sini.

Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum sempena Konvokesyen Ke-3 Politeknik METrO Kuantan yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri Datuk Norol Azali Sulaiman di Grand Hall Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, di sini, kelmarin.

Turut sama, Pengarah Politeknik METrO Kuantan Mohd Jalil Che Jusof.

Seramai 78 graduan jurusan Perkhidmatan Makanan (Amalan Halal) dan Pengurusan Pelancongan menerima diploma masing-masing.

Ahmad Safwan yang kini bekerja dengan syarikat swasta berkata, dia kini sedang menunggu keputusan permohonan untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Saya memang berminat dalam bidang pelancongan yang akan memberi peluang kepada saya melancong sambil mengenali lebih dekat tempat menarik di dalam dan luar negara.

“Setiap hari saya berdoa semoga permohonan melanjutkan pengajian ke UTM diterima seterusnya membuka lebih peluang kepada saya berkhidmat dalam bidang pelancong suatu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 2:47 PM