TANDUK rusa yang dirampas  daripada seorang anggota tentera ketika berada di kawasan parkir sebuah hotel di Shah Alam.
TANDUK rusa yang dirampas daripada seorang anggota tentera ketika berada di kawasan parkir sebuah hotel di Shah Alam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Seorang anggota tentera tergamam selepas ditahan sepasukan anggota polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana memiliki sejumlah besar tanduk rusa.

Dalam operasi jam 3.30 petang kelmarin, suspek berusia 30-an ditahan ketika berada di kawasan parkir sebuah hotel di Shah Alam.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu membabitkan anggota penguatkuasa Jabatan Perhilitan Wilayah Persekutuan dan Selangor, Unit Perisikan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dan Polis Tentera Diraja.

Menurutnya, operasi dilakukan berdasarkan risikan dilakukan sebelum pihak OBK menahan dan memeriksa kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima milik suspek.

SIASATAN dilakukan terhadap kenderaan milik seorang anggota tentera yang didapati membawa tanduk rusa tanpa kebenaran sah.
SIASATAN dilakukan terhadap kenderaan milik seorang anggota tentera yang didapati membawa tanduk rusa tanpa kebenaran sah.

"Hasil pemeriksaan itu menemui sembilan unit bahagian hidupan liar disyaki tanduk rusa yang diisi di dalam kotak.

"Suspek yang disoal siasat gagal menunjukkan lesen kebenaran menyimpan trofi hidupan liar itu," katanya.

Abdul Kadir berkata, semua barang kes itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Perhilitan untuk tindakan lanjut.

"Siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti sumber tanduk itu diperolehi dan tujuan ia disimpan suspek. Tindakan boleh diambil mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sebelum ini, pemilik sebuah restoran di Sentul di sini, turut diambil tindakan sama selepas didapati menyimpan kepala rusa, kulit harimau dan kulit beruang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 7:30 AM