Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan mengalu-alukan sokongan swasta untuk membawa kembali aksi perlumbaan Formula Satu (F1) ke negara ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, ini kerana usaha untuk membawa kembali F1 Grand Prix (GP) itu menelan kos tinggi mencecah RM200 juta, justeru sumbangan syarikat swasta diyakini mampu menyokong usaha itu.

"Kita semua sedia maklum untuk membawa perlumbaan F1 kembali ke Malaysia memerlukan kos yang begitu tinggi.

"Jika kita boleh mendapat bantuan daripada syarikat swasta dan seumpamanya atau ejen penganjur, sudah tentunya kita akan memberi sokongan," katanya selepas merasmikan majlis penutupan 24th Annual General Meeting Panther Athletics Club, Ipoh di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, ia bukan keutamaan kerajaan kerana ketika ini tumpuan diberi kepada pelbagai komitmen membantu rakyat selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

AHMAD Faizal beramah mesra bersama Atlet dari Kelab Olahraga Panther ketika hadir pada majlis Penutup Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Kelab Olahraga Panther di Ipoh. FOTO L MANIMARAN
AHMAD Faizal beramah mesra bersama Atlet dari Kelab Olahraga Panther ketika hadir pada majlis Penutup Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Kelab Olahraga Panther di Ipoh. FOTO L MANIMARAN

"Untuk F1 kembali ke Malaysia ini memerlukan kos hampir RM200 juta, tentunya wang itu boleh digunakan untuk banyak lagi perkara lain yang mencengkam rakyat ketika ini dari segi ekonomi dan membuka semula negara kita selepas dihimpit teruk pandemik Covid-19," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak menolak kemungkinan untuk membawa semula perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia, namun ia bergantung kepada 'kantung' kewangan bagi menganjurkan perlumbaan berprestij itu.

Memetik laporan itu, Sepang antara litar yang dikaitkan untuk menganjurkan semula perlumbaan F1 selepas Grand Prix (GP) Rusia di Litar Sochi dibatalkan berikutan tindakan Rusia melakukan pencerobohan ke atas Ukraine.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menganjur perlumbaan terkemuka dunia berkenaan pada 2017, namun kontrak itu tidak dilanjutkan berikutan pulangan menurun serta kos operasi semakin meningkat selepas menganjurkannya pada 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 7:40 PM