Ahmad Faizal beramah mesra bersama atlet dari Kelab Olahraga Panther ketika hadir pada majlis Penutup Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Kelab Olahraga Panther di Ipoh. FOTO L MANIMARAN
Ahmad Faizal beramah mesra bersama atlet dari Kelab Olahraga Panther ketika hadir pada majlis Penutup Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Kelab Olahraga Panther di Ipoh. FOTO L MANIMARAN
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan mengalu-alukan sokongan daripada pihak swasta untuk menyumbang bagi membawa kembali aksi dan memanaskan litar perlumbaan Formula Satu (F1) ke negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana usaha untuk membawa kembali litar F1 Grand Prix (GP) itu yang menelan kos tinggi mencecah RM200 juta.

"Kita semua sedia maklum untuk membawa perlumbaan Formula Satu (F1) kembali ke Malaysia memerlukan kos yang begitu tinggi.

"Jika kita boleh mendapat sokongan bantuan daripada syarikat swasta dan seumpamanya atau ejen penganjur, sudah tentunya kita akan memberi sokongan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan majlis penutupan 24th Annual General Meeting Panther Athletics Club, Ipoh di Global Sport Rehab Center di sini hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal berkata, namun kerajaan pada ketika ini memberi tumpuan kepada pelbagai komitmen membantu rakyat selepas negara dilanda pandemik teruk.

"Jumlah untuk mendapatkan F1 datang ke Malaysia ini dianggarkan memerlukan kos hampir RM200 juta.

"Tentunya dalam waktu sekarang wang itu boleh kita gunakan untuk banyak lagi perkara lain yang mencengkam rakyat pada ketika ini dari segi ekonomi dan membuka semula negara kita selepas dihimpit teruk oleh pandemik Covid-19," katanya.

Beliau turut mengulas apabila ditanya pemberita pandangan berkenaan keputusan membawa kembali sukan itu yang mungkin mampu membuka ruang peminat sukan itu untuk berkembang semula.

"Itulah kalau dapat (mahu membuka ruang), namun kosnya adalah RM200 juta kita perlu membuat perkiraan sebaiknya sebelum kita membuat keputusan besar.

"Jadi, kalau ada sokongan daripada pihak swasta dan sebagainya tentunya kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan, kami menyambut baik," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak menolak kemungkinan untuk membawa semula perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia, namun ia bergantung kepada 'kantung' kewangan keseluruhan bagi menganjurkan perlumbaan berprestij tersebut.

Memetik laporan itu, Sepang antara litar yang dikaitkan untuk menganjurkan semula perlumbaan F1 selepas Grand Prix (GP) Rusia di Litar Sochi dibatalkan berikutan tindakan Rusia melakukan pencerobohan ke atas Ukraine.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menganjur perlumbaan terkemuka dunia berkenaan pada 2017, namun kontrak itu tidak dilanjutkan berikutan pulangan menurun serta kos operasi semakin meningkat selepas mula menganjurkannya pada tahun 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 8:41 PM