Tangkapan empat Pati warga Filipina selepas disyaki menangkap ikan menggunakan racun dan melakukan aktiviti penyeludupan keluar barang kawalan. FOTO IHSAN APMM
Tangkapan empat Pati warga Filipina selepas disyaki menangkap ikan menggunakan racun dan melakukan aktiviti penyeludupan keluar barang kawalan. FOTO IHSAN APMM
Juwan Riduan


Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot bersama empat pendatang asing tanpa izin (Pati) selepas disyaki menangkap ikan menggunakan racun dan menyeludup keluar barang kawalan, semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, tangkapan dibuat dibuat di kedudukan hampir dua batu nautika Selatan Pulau Lingkutan, Pulau Banggi, pada 6.45 pagi selepas mengesan sebuah bot pam dinaiki dua lelaki warga Filipina disyaki melakukan kegiatan menangkap ikan menggunakan racun.

"Hasil pemeriksaan menemukan peralatan meracun ikan (sujum) dalam bot berkenaan. Manakala sebuah lagi, bot enjin sangkut bersama dua penumpang warga Filipina dikesan di kedudukan 2.2 batu nautika di lokasi sama pada 8 pagi semalam.

"Selepas diperiksa didapati bot berkenaan membawa barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan bersubsidi iaitu minyak masak paket berjumlah 323 kilogram tanpa surat kebenaran daripada pihak berkuasa.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati kedua-dua bot itu tidak mempunyai lesen serta individu terbabit tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keempat-empat tangkapan berusia 22 hingga 56 tahun ditahan, manakala barangan termasuk dua bot berserta enjin sangkut dan enjin pam dianggarkan bernilai RM37,307.50 dirampas.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 8:01 PM