GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Suriany Awaludin

ADA kawan sepejabat saya dikatakan sudah tiga bulan meninggalkan isterinya dan tinggal berasingan tanpa memberikan nafkah.

Punca dia berbuat demikian kerana tidak ada lagi persefahaman dan usia perkahwinan mereka masih belum sampai setahun.

Jika berlaku keadaan sedemikian, adakah boleh jatuh talak walaupun suami tidak melafazkannya?

Ingin Tahu, KL

Di bawah peruntukan undang-undang keluarga Islam di Malaysia, mengikut Seksyen 50 iaitu perceraian di bawah taklik atau janji:

1. Seorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin memohon kepada mahkamah untuk menetapkan perceraian yang demikian sudah berlaku.

2. Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan jika berpuas hati perceraian itu adalah sah mengikut hukum syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod yang diperakui Pendaftar kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

Lazimnya, lafaz taklik yang dilafazkan selepas akad nikah oleh suami berbeza mengikut negeri. Contohnya di Selangor, lafaz takliknya berbunyi: “Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang itu pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”

Bagi Johor pula lafaz takliknya berbunyi, “Manakala saya tinggalkan isteri saya... (nama isteri)... selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksa dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang itu padahal ia taatkan saya atau saya lakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya, kemudian ia mengadu atau wakilnya mengadu kepada kadi dan manakala sabit aduannya di sisi kadi atau mahkamah syariah dan ia atau wakilnya memberi kepada kadi bagi pihak saya satu ringgit, maka ketika itu tertalaklah dia dengan satu talak khuluk atau saya ghaib daripada isteri saya selama satu tahun atau lebih, jika ia atau wakilnya mengadu kepada kadi dengan berkata ianya tidak tertunggu lagi akan saya manakala bersabit aduannya, nescaya tertalaklah ia satu talak, demikian lafaz taklik saya.”

Isu persoalan pada minggu ini berkait rapat dengan perceraian secara taklik. Ini kerana fakta yang ditimbulkan adalah sama ada jatuhnya talak atau berlaku perceraian akibat suami yang meninggalkan isterinya tanpa nafkah selama tiga bulan.

Sebagaimana dinyatakan mengenai lafaz taklik selepas akad nikah, kebanyakan negeri meletakkan syarat jika suami meninggalkan isteri tanpa nafkah atau mendatangkan kemudaratan ke atas tubuh badan isteri dan isteri kemudiannya mengadu di hadapan Hakim Mahkamah Syariah.

Jika aduan isteri itu berjaya dibuktikan dan mahkamah berpuas hati adanya perlanggaran syarat taklik itu, maka mahkamah boleh mensabitkan jatuhnya talak.

Perbuatan suami meninggalkan isterinya tanpa nafkah adalah salah satu ciri taklik yang diamalkan di beberapa negeri di Malaysia.

Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 50 (1) di atas, mahkamah boleh mensabitkan pembubaran perkahwinan kerana berlakunya perlanggaran syarat taklik yang dilafazkan oleh suami sekiranya lafaz taklik itu menyatakan jika suami meninggalkan isteri selama tempoh tiga bulan tanpa nafkah.

Talak tidak akan jatuh dengan sendirinya tanpa lafaz daripada suami.

Talak yang gugur adalah disebabkan jika sempurnanya rukun dan syarat talak iaitu suami, isteri dan lafaz.

Talak juga terbahagi kepada dua jenis iaitu lafaz yang jelas (sarih) dan lafaz tidak jelas (kinayah). Jenis lafaz yang kedua itu memerlukan pengesahan niat suami.

Perbezaan antara perceraian secara taklik dinyatakan di bawah Seksyen 50 (1) di atas adalah perceraian atau pembubaran perkahwinan itu diputuskan mahkamah.

Perceraian secara lafaz talak pula adalah perceraian berlaku akibat lafaz dibuat suami yang sempurna rukun dan syaratnya.

Oleh itu, isu isteri yang ditinggalkan tanpa nafkah perlu dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk dijelaskan kedudukan perlanggaran syarat taklik atau sebaliknya.

Selain itu, ia bergantung kepada keredaan isteri yang tidak mendapat nafkah untuk bertahan dengan keadaan seperti itu.

Selagi isteri tidak mengadu kepada mahkamah suaminya meninggalkan dirinya tanpa nafkah kepada hakim, maka tiada perceraian berlaku secara automatik.

Dakwaan isteri yang ditinggalkan tanpa nafkah itu perlu disiasat.

Penulis adalah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 9:43 AM