Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Johor mencatatkan 2,625 kes perceraian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Perintah (PKP) dikuatkuasakan sehingga Oktober lalu.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata, Johor Bahru mencatatkan jumlah perceraian paling tinggi iaitu sebanyak 984 kes sepanjang tempoh berkenaan.

"Statistik perceraian daerah lain antara Mac hingga Oktober lalu adalah Batu Pahat mencatatkan 384 kes diikuti Muar (238), Kluang dan Kota Tinggi (250), Segamat (102) dan Pontian (179).

"Mersing pula mencatatkan 70 kes, Kulai (102) dan Tangkak (66)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Parit Yaani) ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Permai, berkata sebanyak 1,768 laporan masalah rumah tangga diterima Jabatan Agama Islam negeri Johor (JAINJ) sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Perintah (PKP) dikuatkuasakan sehingga Oktober lalu.

Katanya, antara punca utama masalah rumah tangga di negeri membabitkan kes tidak bertanggungjawab, tiada motivasi dalam perkahwinan, pengabaian nafkah, suka keluar rumah, penagihan dadah selain campur tangan keluarga dan penderaan.

"Setiap pasangan yang mempunyai masalah rumah tangga akan dipanggil Bahagian Pembangunan Keluarga serta pejabat Kadi daerah untuk tujuan kaunseling.

"Langkah kedua, Pejabat Kadi akan memanggil keluarga bagi mencari rumusan dalam menyelesaikan masalah berbangkit membabitkan pasangan.

"Selain itu, lazimnya pada peringkat akhir kedua-dua pasangan akan ditemukan untuk majlis kaunseling yang diuruskan Mahkamah Syariah dan pejabat kadi daerah," katanya.

Dalam pada itu, Tosrin memaklumkan JAINJ akan memperkenalkan modul baharu kursus perkahwinan selewat-lewatnya, Mac tahun hadapan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 4:40 PM