Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) di antara Pulau Pinang dan Singapura yang bermula hari ini, berjalan lancar dengan penerbangan membawa penumpang dari Singapura ke Pulau Pinang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, hari ini.

Mereka tiba pada 6.40 petang dengan menggunakan Pesawat Air Asia AK1730 sebelum dibawa melakukan ujian RT-PCR (PCR).

Difahamkan, terdapat dua penerbangan VTL membabitkan Singapura ke Pulau Pinang dan Pulau Pinang ke Singapura dengan menggunakan pesawat Air Asia dan Singapore Airlines.

Seorang penumpang, Peggy Lee, 25, berkata, dia yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital di Singapura sudah lama menantikan VTL dilaksanakan kerana mahu pulang melawat ibu bapanya di Pulau Pinang.

"Sejak penularan Covid-19, memang sukar untuk saya pulang kerana tuntutan tugas dan tidak mudah kerana penutupan pintu sempadan negara.

"Kini selepas hampir tiga tahun tidak pulang, saya boleh balik menziarahi ibu bapa saya ditambah pula dengan inisiatif VTL menjadikan perjalanan bertambah mudah," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Kakaknya, Engie Lee, 30, berkata, dia yang bertugas sebagai eksekutif syarikat di Singapura pada awalnya mengetahui mengenai pelaksanaan VTL pertama di laluan Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun ketika itu terlalu banyak prosedur perlu dilalui.

"Sebab itu, saya dan adik tidak lagi pulang sehingga kami mendapat tahu mengenai laluan VTL Singapura-Pulau Pinang yang menjadikan kami sangat teruja selepas ia menjadi sangat mudah kerana keluarga kami memang berada di sini.

"Sebelum ini, VTL Singapura-Kuala Lumpur ada banyak prosedur jadi masa itu agak rumit dan mujur VTL Singapura-Pulau Pinang prosesnya lancar serta cepat," katanya.

Terdahulu, kerajaan Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan bersama memperluaskan VTL melalui udara bagi laluan dari Pulau Pinang ke negara itu mulai 16 Mac.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, LTAPP menyediakan semua persiapan bagi pelancaran VTL Pulau Pinang-Singapura.

Beliau berkata, Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) sudah menjalankan perancangan diperlukan bagi memastikan kelancaran penerbangan antara Pulau Pinang ke Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 8:26 PM
Penumpang dari Singapura ke Pulau Pinang  Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) hari ini selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Penumpang dari Singapura ke Pulau Pinang Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) hari ini selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG