Yeoh Soon Hin
Yeoh Soon Hin
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Georgetown: Pulau Pinang menggesa supaya Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) disenaraikan dalam Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin atau Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Malaysia dan Singapura.

Ia susulan inisiatif membabitkan Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu yang akan berkuat kuasa mulai 29 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin berkata, pelancaran VTL antara kedua-dua negara itu menandakan detik pembukaan semula industri pelancongan antarabangsa Malaysia yang terjejas sejak Mac tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Namun, katanya pembabitan LTAPP dalam VTL Malaysia-Singapura akan menarik lebih banyak trafik udara dari Singapura sekali gus menjadi penggalak ekonomi Malaysia, khususnya kepada Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

"Pelancaran VTL di KLIA amat dialu-alukan tetapi saya percaya LTAPP juga harus dimasukkan memandangkan kedudukannya sebagai pintu masuk penting ke utara Semenanjung Malaysia.

"Pelancaran VTL di dua bandar serentak boleh menggandakan kadar pemulihan ekonomi dan menghidupkan semula industri kita yang terjejas, terutama sektor perkhidmatan yang terdiri daripada makanan dan minuman, hotel, pengusaha pelancongan dan sebagainya," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Di bawah inisiatif itu, pengembara yang sudah mendapat vaksin penuh akan dapat melakukan perjalanan antara Malaysia dan Singapura dan tertakluk kepada ujian Covid-19 sebagai ganti kepada perintah kuarantin atau notis duduk rumah.

Mengulas lanjut Soon Hin berkata, pelancaran VTL di dua lapangan terbang antarabangsa yang berbeza di negara ini akan memastikan pemulihan ekonomi yang seimbang serta memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan.

"Meletakkan LTAPP dalam senarai VTL bukan sahaja memberi manfaat kepada Pulau Pinang semata-mata tetapi juga negeri jiran lain yang semuanya bergantung kepada LTAPP sebagai satu-satunya lapangan terbang antarabangsa bagi trafik dan peluang perniagaan.

"Sebelum pandemik Covid-19, laluan udara antarabangsa antara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan LTAPP merekodkan sebanyak 107 penerbangan setiap minggu pada November 2019 dan saya percaya ia adalah angka yang boleh dipertimbangkan kerajaan bagi inisiatif ini," katanya.

Mengenai keselamatan awam dan kesediaan industri, Soon Hin berkata, kadar vaksinasi penduduk dewasa Pulau Pinang yang sudah mencapai 99 peratus daripada jumlah penduduk setakat semalam dan petugas barisan hadapan pelancongan Pulau Pinang diberi vaksin sepenuhnya menerusi program vaksinasi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 1:54 PM