Dadah syabu yang dirampas pasukan polis dari JSJN IPK Sabah. FOTO Juwan Riduan
Dadah syabu yang dirampas pasukan polis dari JSJN IPK Sabah. FOTO Juwan Riduan
Oleh Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah syabu dengan penahanan dua individu dan merampas dadah seberat 10.06 kilogram bernilai hampir 400,000.

Kejayaan itu hasil serbuan di beberapa lokasi oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua JSJN Sabah Asisten Komisioner Lam Thiam Huat berkata, dalam serbuan pertama pada jam 12.30 tengah hari, 10 Mac lalu, sepasukan pegawai dan anggota JSJN IPK Sabah menahan seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun di hadapan sebuah perumahan di Cyber City.

Katanya, ketika penahanan itu, suspek sedang memunggah sebuah kotak dan berlaku sedikit pergelutan namun dia berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kotak terbabit mengandungi 6.03 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM240,000.

"Soal siasat lanjut kemudiannya membawa pasukan polis menyerbu rumah sewa suspek pada jam 6.30 petang hari yang sama di Penampang.

"Polis kemudian merampas 3.02 kilogram syabu bernilai RM120,000 di dalam rumah berkenaan dan turut merampas pasport milik suspek," katanya dalam sidang media di IPK Sabah, Kepayan, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada jam 2.15 petang, 14 Mac lalu, hasil daripada siasatan lanjut, sekali lagi dengan dipandu arah oleh suspek, polis pergi ke Pejabat Pos Daerah Tenom untuk melakukan pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kod siri kiriman yang diberikan suspek, pasukan serbuan JSJN dengan dibantu IPD Tenom merampas sebuah kotak yang dituntut oleh suspek dan hasil pemeriksaan menemui 1.017 kilogram dadah syabu bernilai RM36,000.

"Semua dadah yang dirampas dalam ketiga-tiga serbuan adalah seberat 10.06 kilogram yang bernilai hampir RM400,000.

"Polis turut merampas beberapa barangan suspek termasuk sebuah kereta jenis Toyota Vios, dua motosikal, seutas rantai emas serta wang tunai dengan jumlah keseluruhannya mencecah RM100,000," katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu juga, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun pada jam 7.30 malam di Tenom yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket rangkaian pengedaran dadah.

Katanya, rampasan dadah yang boleh digunakan 50,000 penagih ini dipercayai diseludup masuk ke Sabah menggunakan khidmat kurier dari Semenanjung dan dipercayai untuk dipasarkan ke negara jiran.

Beliau berkata, polis juga giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dua lagi individu yang dipercayai dalang utama dalam aktiviti pengedaran dadah di negeri ini.

"Polis juga giat menjalankan kerjasama dengan syarikat kurier berikutan pengedaran dadah menggunakan kurier dilihat sebagai modus operandi yang aktif digunakan oleh pengedar.

"Tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh membawa kepada hukuman mati mandatori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 3:11 PM