SHAHRIR bersama penyokong selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi. FOTO ihsan Nurul Hidayah Bahaudin
SHAHRIR bersama penyokong selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi. FOTO ihsan Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kerana didakwa menyalahguna kuasa.

Ia susulan pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dibuat meskipun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kertas siasatan kes berkenaan belum lengkap.

Shahrir berkata, laporan polis itu dibuat selepas pihaknya mendapati saksi pendakwaan SPRM dalam perbicaraan kes berkenaan pada Disember dan Januari lalu tidak menyiasat sepenuhnya kes terbabit.

"Atas pendedahan saksi-saksi penting pendakwaan di mahkamah, saya mengesyaki terdapat salah guna kuasa oleh Tommy Thomas apabila mengarahkan supaya saya dituduh walaupun kertas siasatan belum lengkap.

"Malah, ada unsur pendakwaan berniat jahat yang dilakukan terhadap saya selaku salah seorang ahli politik dan pemimpin Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan penyalahgunaan kuasa dengan menuduh beliau secara tidak wajar mengakibatkan nama baiknya sebagai ahli politik tercalar serta ahli keluarganya turut terheret dan diaibkan.

"Tujuan saya membuat laporan ini untuk meminta pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang dan menyiasat terperinci atas dakwaan salah guna kuasa serta unsur pendakwaan berniat jahat yang disyaki dilakukan terhadap saya," katanya.

Pada 5 Januari lalu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir, 73, selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh dalam kes itu.

Shahrir didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 5:40 PM